Ayah dan saya sudah satu kepala, kata Marina

Marina Mahathir berkata beliau dan bapanya tetap rapat walaupun sering berselisih pendapat. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Anak sulung bekas perdana menteri, Datin Paduka Marina Mahathir berkata beliau dan bapanya kini sudah “bersefahaman” dalam banyak isu walaupun kedua-dua mereka berselisih pendapat sebelum ini, termasuk semasa 22 tahun pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Marina dalam temu bual dengan Channel NewsAsia berkata mereka kini bertindih pandangan dalam isu seperti memerangi rasuah, kerjasama Dr Mahathir dengan bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan perhimpunan awam.

Menceritakan detik pemecatan Anwar daripada Kabinet pada 1998, Marina berkata beliau begitu menyelami perasaan anak perempuan Anwar selepas pemimpin PKR itu dipenjarakan.

“Anak perempuan saya bersekolah dengan salah seorang anak perempuan Anwar,” katanya. “Mereka sebaya dan anak saya bercerita bagaimana anak perempuannya datang ke sekolah selepas peristiwa itu berlaku. Dia duduk di belakang kelas dan hanya menangis sepanjang hari. Ia mengenai kemanusiaan.”

Marina berkata, episod itu mengingat kembali kepada zaman kanak-kanaknya semasa bapanya dipecat daripada Umno pada 1969.

“Ketika itu saya berumur 11 tahun dan saya tidak faham apa maksud disingkirkan. Saya fikir dia akan dipenjara. Saya sangat kecewa. Saya benar-benar takut.

“Sebab itulah saya sangat bersimpati dengan anak perempuan Anwar dengan apa yang terjadi pada 1998. Saya dapat rasakan perasaannya seperti apa yang saya rasai semasa berumur 11 tahun untuk memahami apa yang sedang berlaku,” katanya.

Marina mengalukan-alukan kedua-dua tokoh itu yang kini berganding bahu dalam isu seperti memerangi rasuah.

“Itu satu perkara yang baik dan anda memerlukan pakatan untuk berbuat demikian. Tiada siapa yang dapat melakukannya sendiri.”

Katanya, beliau percaya Dr Mahathir mempunyai alasan tersendiri berhubung tindakannya memenjarakan Anwar pada 1998.

“Dia juga melihat kesan kumulatifnya, yang saya rasa pada umurnya sekarang dan selepas melalui semua itu, ianya cukup.”

Dr Mahathir baru-baru ini berkata beliau mungkin tersilap perhitungan politik apabila memecat Anwar, sehingga mencetuskan bantahan orang ramai.

Marina turut menyambut baik perubahan fikiran bapanya mengenai perhimpunan jalanan, sesuatu yang sangat ditentanginya sebagai perdana menteri.

“Dia mendapati ia tidak seperti apa yang dia fikirkan, dan sebab itulah dia menyertai perhimpunan Bersih 5. Jadi dia mengubah fikirannya dalam banyak perkara dan saya fikir ianya bagus,” tambahnya.

Walaupun tidak bersetuju dengan bapanya dalam beberapa isu, Marina berkata mereka sentiasa rapat.

“Bapa dan saya tidak pernah mengalami masalah dan kami tidak membiarkan perbezaan itu mempengaruhi hubungan kami.

“Saya tahu orang jumpa bapa saya dan berkata ‘kenapa Marina bercakap sebegitu?’ dan dia hanya mengangkat bahu.”

 

Saya tak patut ambil tindakan terhadap Anwar, kata Dr M