Laporan penemuan pesawat tidak beretika, kata pasukan respons MH370

KUALA LUMPUR: Pasukan Respons MH370 berkata, laporan penemuan pesawat MH370 bertajuk “MH370 found on Google Earth” yang tersebar luas baru-baru ini tidak berasas.

Ketuanya, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman menasihatkan orang ramai merujuk pihaknya atau laman sesawang MH370 mereka untuk pengesahan, laporan serta berita berkaitan kehilangan pesawat itu.

Pasukan itu, katanya, sentiasa dibimbing pandangan, pendapat dan pengesahan kumpulan pakar di Australia.

“Oleh itu, Pasukan Respons MH370 ingin menyatakan laporan tersebut tidak berasas,” kata pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan hari ini.

“Kami berpendapat laporan seperti itu tidak beretika dan perasaan keluarga serta orang tersayang dalam penerbangan MH370 itu perlu dihormati,” katanya.

Sebuah portal berita antarabangsa melaporkan jurutera mekanikal, Peter McMahon, yang berpengalaman lebih 25 tahun dalam siasatan insiden nahas penerbangan, mendakwa kawasan pencarian MH370 terletak kira-kira 16km selatan Pulau Round, berhampiran sebuah pulau kecil di utara Mauritius.

Beliau mendakwa penelitian berdasarkan imej Nasa dan Google Earth itu dilakukan sejak pesawat Boeing 777 yang membawa 239 penumpang dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014 dilaporkan hilang.

Setakat ini, usaha mengesan bangkai pesawat itu belum berhasil.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/03/19/imej-google-bangkai-pesawat-diambil-4-tahun-sebelum-mh370-hilang/