Mengadu kepada Sultan Selangor selaras demokrasi, kata Hadi

Gambar Facebook .

CYBERJAYA: Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan tindakan PAS menghantar surat kepada Sultan Selangor berikutan keputusan kerajaan negeri menyekat peruntukan tahunan 13 Adun PAS sejak 2 bulan lepas.

Hadi berkata apa yang dilakukan adalah selaras dengan prinsip demokrasi.

“Kita menggunakan saluran betul, dalam proses demokrasi negara kita, kerajaan dipilih rakyat melalui pilihan raya.

“Exco kerajaan negeri dan menteri besar, dan Sultan adalah sebahagian daripadanya, maknanya kita boleh menghubungkan perkara tertentu dengan baginda. Tidak menjadi salah mengikut amanah demokrasi,” katanya ketika pelancaran manifesto Gagasan Sejahtera di sini malam tadi.

Hadi mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali yang menuduh PAS cuba mengheret istana Selangor ke dalam isu pembekuan peruntukan kepada Adun PAS di negeri itu.

Isnin lepas, Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi menulis surat kepada Sultan Selangor mengenai isu sekatan peruntukan itu.

Sementara itu, Hadi berkata, PAS tidak menolak kemungkinan kerjasama dengan mana-mana parti untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya akan datang.

Katanya, perkara tersebut boleh direalisasikan jika konsep dan manifesto yang dibawa PAS dapat diterima oleh parti yang mahu bekerjasama dengannya.

“Parti yang mahu bekerjasama dengan PAS mesti menerima konsep yang kita kemukakan dalam manifesto,” katanya.

Selepas minta lulus dana, PAS dakwa Azmin abai 3 exconya

Beku peruntukan: PAS akan hantar surat kepada Sultan Selangor