Menteri: 60,000 pekerja hilang kerja jika kerajaan tak bantu Proton

Mustapa Mohamed berkata 10,000 pekerja langsung dan 50,000 pekerja tidak langsung Proton akan hilang pekerjaan, jika kerajaan tidak membantu pengeluar kereta nasional itu. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Seramai 60,000 pekerja berkaitan Proton Holdings Berhad (Proton) akan hilang pekerjaan tanpa campur tangan kerajaan, kata menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan masih memberi perhatian kepada Proton walaupun 49.9% sahamnya diambil syarikat terkemuka, Zhejiang Geely Holding Group (Geely).

“Kalau Proton tidak dibantu atau diselamatkan, bermakna bukan 10,000 pekerja yang bekerja secara langsung hilang pekerjaan, tetapi 50,000 pekerja yang terlibat secara tidak langsung akan hilang pekerjaan.

“Jadi, itu masalah dihadapi negara, maka kerajaan berpendapat lebih baik kerajaan hulurkan bantuan daripada lihat 50,000 ‘inderect’ dan 10,000 ‘direct’ pekerja hilang pekerjaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Seramai 50,000 pekerja yang bekerja secara tidak langsung dengan Proton termasuk mereka yang bekerja untuk vendor, pengedar dan khidmat servis kenderaan.

Mustapa berkata, Geely ialah pilihan tepat untuk mengambil alih Proton kerana gergasi automotif China itu turut membeli kepentingan dalam Volvo dan Daimler, iaitu pemilik jenama Mercedes-Benz.

“Geely merupakan pilihan baik, bukan sahaja beli Volvo, baru-baru ini Geely beli Daimler. Geely merupakan sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan terbesar dalam Daimler.

“Maknanya Geely merupakan syarikat yang begitu ternama dan itu sebabnya Proton memilih Geely sebagai rakan kongsi dan kita rasa ia pilihan tepat.”

Beliau berkata, pihaknya sudah menemui pengurusan Proton dan pengedar kereta nasional itu bagi membincangkan penukaran pusat jualan 1S kepada 3S (khidmat jualan, servis dan alat ganti) atau 4S (khidmat jualan, servis, alat ganti serta ketuk dan cat).

“Saya sudah bertemu dengan pengurusan Proton dan ‘dealer’, ini ada isu komunikasi dan sedang ditangani oleh Proton dan kerajaan juga sedang cari jalan untuk bantu mereka, transformasi daripada 1S ke 3S.”