Nur Jazlan sahkan tiada pegawai khas Zahid terima kontrak KDN

Gambar Facebook.

KUALA LUMPUR: Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, individu yang didakwa diberikan kontrak Kementerian Dalam Negeri (KDN) bukan pegawai khas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan menteri dalam negeri itu berkata, rekod KDN tidak mempunyai individu yang didakwa menerima konsesi perundingan dengan Jabatan Imigresen.

“Sejak bila dia jadi pegawai khas menteri saya juga tidak tahu, sebabnya dalam rekod kita tidak ada rekod dia sebagai pegawai khas menteri.

“Mungkin dia jadi salah seorang pegawai lain di dalam KDN, tetapi dia bukan pegawai khas kepada menteri,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Nur Jazlan menjawab pertanyaan Steven Sim (DAP-Bukit Mertajam) yang ingin tahu penglibatan pegawai khas Zahid dalam kontrak pengambilan semula pekerja asing.

“Sebuah syarikat milik pegawai khas menteri diberikan kontrak swasta untuk proses kelulusan pekerja asing, bukan sahaja 1 negara, tapi 15 buah negara.

“Kita hendak tahu, adakah syarikat ini mendapat kontrak melalui tender terbuka dan ke-2, bagaimana pegawai khas menteri dalam negeri dapat kontrak swasta.”

Pada 20 November lalu, Zahid menerusi kenyataan bertulis di Parlimen mengesahkan pelantikan Bukit Megah Sdn Bhd bagi mengendalikan pengambilan semula pekerja asing tanpa dokumen.

Bagaimanapun, menteri dalam negeri itu tidak mengesah atau menafikan firma itu milik pegawai khasnya, Datuk Abdul Halim Suleiman yang juga bekas adun Puteri Wangsa, Johor dari 2004 hingga 2013.

Nur Jazlan berkata, pemberian kontrak kepada syarikat itu dilakukan menerusi tender terbuka.

“Kontrak ini telah diluluskan kepada 3 syarikat, bukan satu sahaja dan proses diikuti di bahagian perolehan KDN.

“Buka kepada 3 syarikat dan diluluskan kontrak itu. Ikut prosedur. Proses perolehan itu dilakukan secara telus, kalau kata ia tidak ikut proses, maka itu salah”