Putrajaya akan hadkan harga tiket penerbangan domestik

Gambar Twitter

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) akan menetapkan harga siling bagi penerbangan domestik, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi.

Beliau berkata, Mavcom kini sedang merangka cadangan harga tiket penerbangan domestik yang dijangka selesai pada Jun depan bagi mengatasi kenaikan harga tambang ketika musim perayaan.

“Disebabkan ada aduan yang diterima berhubung tambang tinggi pada musim perayaan, maka pihak Mavcom sudah melaksanakan kajian mengenai tambang yang dijangka selesai pertengahan 2018.

“Setakat ini penemuan awal mendapati tambang semasa perayaan dinaikkan di laluan tertentu sehingga 4.7 kali ganda dalam tempoh 2 hari musim perayaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum itu, Oscar Ling Chai Yew (DAP-Sibu) menyatakan kekecewaannya dengan kerajaan yang disifatkan gagal mengawal harga tambang dari Kuala Lumpur ke Sabah dan Sarawak.

Beliau juga meminta kerajaan menjelaskan pelan tindakan bagi menentukan anggaran tambang pengundi Sabah dan Sarawak pulang ke negeri masing-masing untuk mengundi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Berapakah anggaran tambang yang akan ditetapkan untuk Semenanjung ke Sabah dan Sarawak dalam PRU14 akan datang. Kalau tambang mahal memang ramai yang tidak akan balik mengundi.

“Bagaimana kerajaan akan atasi masalah tambang yang terlalu mahal ini supaya pengundi di Sabah dan Sarawak ini dapat balik untuk mengundi,” katanya.

Menjelaskan perkara itu, Ab Aziz berkata kementeriannya tidak mengawal tambang penerbangan, sebaliknya mencadangkan penumpang membeli tiket lebih awal untuk menyambut perayaan.

“Saya ingin sarankan supaya penumpang beli tiket awal, kerana sudah tahu tarikh perayaan. Beli lebih awal, jangan beli satu dua hari nak terbang, memang harga agak mahal. Rancang perjalanan awal kalau tidak mahu mahal,” katanya.