Terjatuh dari kereta api, remaja di Sabah maut

Gambar Facebook.

BEAUFORT: Seorang remaja perempuan 16 tahun maut selepas terjatuh daripada kereta api yang bergerak berhampiran Stesen Batu 62 hari ini.

Mangsa, Siti Intan Suraya Ambran, difahamkan dalam perjalanan dari Beaufort ke Tenom dengan menaiki kereta api pada 1.30 tengah hari bersama sepupunya, Nor Shafika Maulana.

Nor Shafika,19, berkata beliau dan mangsa duduk di tepi tangga di bahagian pintu berikutan kereta api itu penuh dengan penumpang sebelum lutut mangsa terkena kayu yang terpacak di tepi laluan berhampiran landasan.

Katanya, kejadian itu berlaku ketika 10 minit dalam perjalanan.

“Mangsa kemudian tercampak keluar sebelum tergolek di bawah kereta api dan menyebabkan kaki kiri mangsa digilis kereta api,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Nor Shafika, yang turut mengalami kecederaan ringan, berkata mangsa juga cedera di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum pihak polis membawa mayat mangsa ke hospital.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Beaufort, DSP Azmir Abd Razak, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian, namun berkata siasatan sedang dijalankan.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan mati di tempat kejadian.

Mayatnya dihantar ke Hospital Beaufort untuk bedah siasat.

Mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang dari Beaufort ke Tenom selepas menziarahi saudara-maranya.