Akta khidmat e-hailing diwarta pada suku ke-2 2018

KUALA LUMPUR: Dua akta bagi mengesahkan perkhidmatan e-hailing seperti Uber dan Grabcar akan diwartakan suku ke-2 tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia membabitkan Akta Pengangkutan Awam Darat 2017 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 2017 yang diluluskan di Parlimen pada Julai tahun lepas.

Katanya buat masa ini pihaknya perlu menyelaraskan beberapa perkara membabitkan tambang, pemeriksaan Puspakom dan pembahagian kuasa antara Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) dengan Jabatan Pengangkutan Jalan sebelum e-hailing dapat dilaksanakan sepenuhnya.

“Selepas mengkaji pelbagai aspek dan melakukan penyelarasan, kedua-dua akta itu akan diwartakan secara rasmi pada suku ke-2 tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat tawaran kelulusan bagi permit teksi individu kepada pemandu teksi hari ini.

Turut hadir, Pemangku Pengerusi Spad Tan Sri Isa Samad.

Terdahulu, seramai 300 pemandu teksi menerima lesen individu daripada Spad melalui Program Transformasi Industri Teksi (TITP).

Nancy berkata daripada jumlah itu, 74 daripadanya turut menerima geran tunai kerajaan sebanyak RM5,000 bagi membeli kenderaan baru.

“Geran ini merupakan sebahagian daripada RM150 juta yang diperuntukkan kerajaan untuk pemegang lesen layak.

“Sejak TITP dilaksanakan, seramai 2,493 pemandu teksi telah menerima lesen individu dan sebanyak 82 geran tunai kerajaan bernilai RM410 ribu diberikan kepada pemandu teksi layak,” katanya.