Bapa rayu hukuman dikurangkan atas 623 sabitan liwat, rogol, dera anak

Lelaki itu mengaku bersalah atas 632 tuduhan meliwat, merogol dan melakukan serangan seksual terhadap anak.

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang dihukum penjara 48 tahun dan 24 sebatan atas 632 sabitan meliwat, merogol dan mendera anak perempuannya secara seksual mahu merayu mahkamah mengurangkan hukumannya.

Ketika sebutan kes di Mahkamah Tinggi hari ini, peguam Cyrus Tiu dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) hadir mewakili lelaki itu di depan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Mahkamah menetapkan 25 April untuk mendengar rayuannya.

Dia mengaku bersalah meliwat, merogol dan mendera anak perempuannya secara seksual dari Januari hingga Julai 2017 di Mahkamah Khas untuk Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak di Putrajaya September lepas.

Lelaki itu kemudiannya membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dan sebat.

Bercakap kepada pemberita hari ini, Tiu mengambil kes duda itu kerana ia sudah lama terbiar di pejabat YBGK.

“Mana-mana tertuduh berhak diwakili di mahkamah. Saya akan cuba membantu mengurangkan hukuman,” katanya sambil menambah kes lelaki itu diterimanya pada 7 Mac.

Lelaki itu dilaporkan meliwat, merogol dan melakukan serangan seksual terhadap anaknya sejak bercerai pada 2015.

Anak perempuannya tinggal bersama dia dan mendedahkan pengalaman pahitnya apabila mendapat tahu lelaki itu mahu mengambil 2 adik perempuannya tinggal bersama mereka.