Dr M, Muhyiddin nafi tahu tentang Cambridge Analytica

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan mereka tahu mengenai sebuah syarikat data besar berpangkalan di United Kingdom dipalit skandal yang mengaku pernah membantu Barisan Nasional (BN) menawan Kedah pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Dr Mahathir yang merupakan bekas perdana menteri selama 22 tahun berkata, beliau tiada pengetahuan mengenai Cambridge Analytica.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut menafikan Cambridge Analytica mempunyai rekod operasi di Kedah.

“Kedah tidak pernah minta campur tangan luar. Itu keputusan kerajaan pusat,” katanya selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di bangunan Parlimen, hari ini.

Cambridge Analytica baru-baru ini mengaku terbabit dalam membantu BN merampas Kedah daripada Pakatan Rakyat pada PRU13.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi Strategi dan Dasar PPBM, Wan Saiful Wan Jan meminta Datuk Seri Najib Razak menjelaskan dakwaan BN menggunakan khidmat Cambridge Analytica untuk memanipulasi data peribadi pada pilihan raya umum.

Ia susulan dokumentari Channel 4 di Britain yang merakamkan dakwaan eksekutif tertinggi Cambridge Analytica secara rahsia, mereka boleh menggunakan rasuah, bekas perisik dan pekerja seks untuk memerangkap ahli politik di seluruh dunia, selain mendakwa pernah terbabit dalam kerja pemilihan di Malaysia.

“CA menyokong BN di Kedah dengan kemepn mesej sasaran yang menonjolkan peningkatan sekolah sejak 2008.

“BN merampas Kedah daripada Pakatan Rakyat pada PRU13 dengan memenangi 21 daripada 36 kerusi DUN dan 10 daripada 15 kerusi Parlimen di negeri itu,” demikian menurut laman web CA Political.

Sementara itu, Muhyiddin yang merupakan bekas timbalan perdana menteri berkata, ini kali pertama beliau dengar tentang Cambridge Analytica.

“Saya tidak tahu-menahu. Ini kali pertama saya dengar.

“Najib yang melakukan semua secara sendirian,” kata pengerusi PPBM itu.

Muhyiddin dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada 2009 dan dipecat pada 2015.