Gabungan NGO lapor polis berhubung doa pemimpin PAS Selangor

SHAH ALAM: Sebanyak 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis berhubung doa dibacakan pemimpin PAS Selangor dalam satu program parti itu di sini, Sabtu lepas.

Wakil gabungan NGO itu, Ishak Harun berkata doa yang dibacakan dalam program tersebut dilihat menyentuh beberapa perkara yang boleh mendatangkan fitnah dan gambaran salah terhadap agama Islam, institusi diraja dan agensi agama Islam di negeri ini.

“Program itu disiarkan secara langsung melalui Facebook PAS Selangor dan tular secara meluas di laman sosial lain.

“Kandungan doa ini memberi gambaran salah terhadap Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam serta agensi berkaitan termasuk Majlis Agama Islam Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor, yang mana 2 jabatan itu telah dipertanggungjawabkan dalam hal berkaitan agama Islam di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini hari ini.

Antara NGO yang membuat laporan polis tersebut termasuk Persatuan Peduli Rakyat Sungai Besar, Kelab Prihatin Ummah Selangor, Persatuan Masyarakat Penyayang Selangor, Pertubuhan Kebajikan Ihsan Ummah Selangor dan Anak Prihatin Malaysia.