Jalur Gemilang disangka lambang IS, rakyat Malaysia disiasat FBI

PETALING JAYA: Seorang rakyat Malaysia yang tinggal di Amerika Syarikat mendapati dirinya menjadi sasaran Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), selepas majlis sambutan Merdeka dan Hari Raya Aidiladha yang diadakannya disalah tafsir penduduk tempatan.

Munir Zainal, seorang jurutera penerbangan di syarikat Spirit Aerosystems, Kansas, mengadakan majlis itu pada awal September tahun lalu, di kawasan tepi tasik yang disewanya daripada Persatuan Kakitangan Spirit Boeing (SBEA).

Ramai tetamunya bertudung dan kebanyakannya rakyat Malaysia berketurunan India. Mereka turut bergambar dengan Jalur Gemilang, yang mempunyai persamaan dengan bendera Amerika Syarikat.

Akhbar The Wichita Eagles melaporkan, tidak lama selepas itu, Munir mendapati beliau disiasat FBI selepas seorang ahli SBEA membuat aduan mengenai “satu kumpulan orang berpakaian agama” dan “bendera AS yang diubah dengan simbol IS”.

Kes Munir mendapat perhatian badan hak asasi American Civil Liberties Union (ACLU), yang memfailkan aduan terhadap SBEA kerana mendiskriminasi Munir atas faktor bangsa, etnik dan agamanya.

Walaupun FBI sudah menamatkan penyiasatannya, Munir masih disekat daripada keahlian SBEA.

“Tidak logik perkara yang begitu kecil bertukar menjadi sebesar ini. Tiada penjelasan lain mengenainya melainkan sikap prejudis dan diskriminasi,” kata pengarah perundangan ACLU, Lauren Bonds.

Badan itu kini mengheret SBEA ke mahkamah, sambil menyebut Munir mengalami tekanan dan kebimbangan berikutan penyiasatan FBI”, di samping bimbang episod itu memberi kesan terhadap status pemastautin tetap.

“Munir berasa tertekan dan malu akibat disisihkan kerana bangsa, etnik dan agamanya,” kata ACLU.