Jam tangan, barang kemas, bukti kes setiausaha Kementerian Belia dan Sukan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 13 jam tangan mewah dan beberapa jenis barang kemas dikemukakan di Mahkamah Sesyen hari ini sebagai barang kes pada perbicaraan bekas Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Otman Arsahd, 59, yang didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan RM38.4 juta, 6 tahun lepas.

Kesemua jam tangan mewah dan barang kemas termasuk 23 bentuk cincin, 8 gelang tangan, 2 pasang subang dan seutas rantai leher dikemukakan oleh saksi pendakwaan ke-49 Ketua Penolong Kanan Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Asmawi a/l Kulup Lam.

“Kesemua jam tangan dan barang kemas itu dicatatkan dalam borang sitaan dikeluarkan terhadap Otman ketika SPRM menjalankan siasatan,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Husmarudin Husin pada pemeriksaan utama perbicaraan berkenaan.

Antara jenama jam tangan mewah disita ialah Cartier, Rolex dan Tag Heuer, manakala kebanyakan jenama barangan kemas disita ialah Cartier.

Pada 21 April 2016, Otman diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, didakwa atas 64 pertuduhan menerima wang berjumlah RM16,623,000 hasil aktiviti haram ke dalam akaun Maybank, RHB dan CIMB Berhad melalui cek antara 7 Mac 2012 hingga 11 Disember 2015.

Terdahulu, pada prosiding pagi tadi, saksi pendakwaan ke-48, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Perumahan Negara, Yahya Ab Ghani, 51, memberitahu mahkamah, setiap permohonan bagi mendapatkan dana dari Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) perlu disemak semula pegawai pengawal iaitu ketua setiausaha sebelum peruntukan berkenaan disalurkan kepada pemohon.

Beliau yang pernah memegang jawatan sebagai setiausaha bahagian kewangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada April 2017 hingga September 2017 berkata setiap permohonan yang diluluskan akan dimaklumkan secara bertulis kepada pemohon.

“Peruntukan yang diluluskan akan disalurkan atau dimasukkan secara ‘electronic fund transfer’ (EFT),” katanya dan menambah setiap pemohon perlu menjalankan aktiviti sukan seperti dinyatakan dalam permohonan mereka dan mengemukakan laporan lengkap apabila program berkenaan selesai dijalankan.

Beliau berkata demikian pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Norzilati Izhani Zainal.

Selain Otman, pengarah syarikat pembekal barangan sukan bawah KBS, Abdul Gafar Abdurahiman, 44, dan isterinya Siti Rohanah Hussien, 44, suri rumah, masing-masing berdepan 63 pertuduhan memindahkan wang berjumlah RM15,723,000 yang merupakan hasil aktiviti haram menerusi 63 transaksi dari akaun bank 3 syarikat milik mereka ke akaun bank milik Otman bagi tempoh masa sama.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi berbeza antaranya RHB Bank cawangan Presint 8, Putrajaya, Menara Maybank Jalan Tun Perak dan Maybank Jalan Raja Laut.

Otman, Abdul Gafar dan Siti Rohanah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-keduanya, jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA) yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun atau boleh juga didenda tidak kurang daripada 5 kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Abdul Gafar dan Siti Rohanah diwakili peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos. Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.