Pengundi gagal keluarkan lebih 900 nama tentera dari Segamat

Jabatan Peguam Negara mengatakan nama pengundi yang digazetkan dalam senarai daftar pemilih tidak boleh dicabar di mahkamah seperti yang termaktub di bawah Seksyen 9A Akta Pilihan Raya 1958. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Seramai 48 pengundi berdaftar Parlimen Segamat di Johor hari ini gagal memperoleh kebenaran semakan kehakiman untuk mencabar dan menggantung kemasukan 949 nama anggota tentera dan pasangan mereka ke dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Ketiga 2017 kawasan itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wira Kamaludin Md Said, yang membenarkan bantahan awal dikemukakan Peguam Kanan Persekutuan, Muzila Mohamed Arsad, yang mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Pendaftar Pemilih Johor, Shafie Taib dan Pegawai Pengadil Segamat, Miswan Yunus selaku responden terhadap permohonan semua pengundi itu.

Prosiding di dalam kamar itu turut dihadiri peguam Michelle Ng yang mewakili 48 pengundi berkenaan.

Michelle ketika ditemui pemberita berkata, mahkamah menolak permohonan anak guamnya selepas bersetuju dengan hujahan pihak Jabatan Peguam Negara bahawa nama pengundi yang digazetkan ke dalam senarai daftar pemilih tidak boleh dicabar di mahkamah dan perkara itu termaktub di bawah Seksyen 9A Akta Pilihan Raya 1958.

“Tiada perintah untuk sebarang kos dan saya akan mendapatkan arahan daripada anak guam sama ada ingin merayu terhadap keputusan hari ini,” kata peguam itu.

Pada 6 Mac lepas, semua responden mengemukakan bantahan awal atas alasan semua nama pengundi yang dimasukkan ke dalam senarai pemilih tidak boleh dicabar dan termaktub di bawah Seksyen 9A Akta Pilihan Raya 1958.

Semua pengundi yang diketuai Abdul Wahab Hassan selaku pemohon memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu pada 26 Feb lepas, bagi memohon perintah untuk membatalkan kemasukan dan pengekalan 949 nama ke dalam RDPT bersama dengan sebarang tindakan yang timbul daripada mengesahkan keputusan tersebut oleh responden, ejen, pekerja atau pegawai mereka.

Dalam permohonan itu, mereka memohon suatu deklarasi kemasukan dan pengekalan nama ke dalam RDPT tidak berperlembagaan dan penggantungan pengesahan 949 nama ke dalam RDPT sehingga keputusan semakan kehakiman.

Semua plaintif mengemukakan permohonan itu atas alasan kemasukan dan pengekalan nama-nama ke dalam RDPT adalah tidak berperlembagaan kerana tidak memenuhi keperluan Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga mendakwa siasatan awam yang dijalankan berhubung kemasukan nama terbabit jelas melanggar keadilan asasi dan tidak betul mengikut prosedur Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan kemasukan atau pengekalan nama-nama Orang Dibantah dalam RDPT adalah tidak munasabah, tidak rasional dan tidak seimbang.

Semua pemohon memfailkan permohonan mereka semula selepas Mahkamah Rayuan pada 21 Jan lepas membenarkan permohonan SPR untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 Jan, yang memberi kebenaran kepada 48 pengundi itu untuk memulakan semakan kehakiman.

 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/02/07/mahkamah-tolak-cubaan-pengundi-keluarkan-tentera-dari-segamat/