Pensyarah pertahan kajian mengenai IRF

Pensyarah kanan Muhammad Atiullah Othman berkata beliau menghantar kertas kajian itu kepada pusat bahasa untuk semakan. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pensyarah kanan di sebuah universiti tempatan di Perak mempertahankan kertas penyeldikan yang mengkritik Dr Ahmad Farouk Musa dan Islamic Renaissance Front (IRF) pimpinannya.

Menjawab laporan FMT yang merujuk kesalahan tatabahasa dan ejaan dalam kertas itu, Muhammad Atiullah Othman di Facebook berkata beliau menghantar kertas kajian itu kepada pusat bahasa untuk semakan.

“Berkenaan kesalahan ejaan pada nama itu, saya telah menghantar emel kepada penerbit tentangnya. Kesilapan taip itu hanya melibatkan nama saya,” katanya.

Dalam kertas penyelidikan bertajuk “Political Islam in Islamism dan Post-Islamism: A Study on Islamic Renaissance Front (IRF)” yang diterbitkan oleh International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences, nama Atiullah dieja sebagai Muhammad Atiullah Ohtman.

Atiullah, seorang ahli PAS, menulis kertas tersebut bersama-sama 2 pensyarah kanan di Jabatan Sains Kemanusiaan universiti berkenaan, iaitu Zuraini Jamil dan Siti Noranizahafizah Boyman.

Ketika dihubungi FMT, Dr Farouk, pensyarah perubatan di Universiti Monash Malaysia, mengalu-alukan kritikan terhadap pandangannya tetapi mempersoalkan mutu kertas akademik itu dan kredibiliti jurnal dalam talian yang menerbitkannya.

Beliau memberi amaran ia mungkin salah satu daripada beratus-ratus jurnal palsu yang ada.

Jurnal tersebut diterbitkan oleh Human Resource Management Academic Research Society (HRMars), yang menurut laman webnya, bertujuan mempromosi ahli akademi dan “sumbangan bernilai mereka dengan menyediakan platform elektronik untuk menerbitkan kajian serta sumbangan mereka kepada lebih ramai pembaca”.

Bagaimanapun, satu senarai “penerbit akademik diragui” yang disusun pustakawan berpangkalan di Amerika Syarikat, Jeffrey Beall, turut menyenaraikan HRMars.

“Elak serah manuskrip anda kepada penerbit ini,” menurut amaran di permulaan senarai itu.

Atiullah bagaimanapun menolak dakwaan mengatakan HRMars merupakan penerbit palsu.

“HMRIS (?) bukan jurnal ‘fake’. Saya tahu mengenai penerbitnya,” kata beliau di Facebook.

Atiullah berkata, metodologi yang digunakan diperiksa oleh “bahagian RMIC”. Dipercayai beliau merujuk kepada Pusat Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) universiti berkenaan.

“Fakta pun semua ada ‘kat’ tangan. Tiada rujukan yang ‘fake’,” tulisnya.

Atiullah berkata, kajian itu dikemukakan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan beberapa ahli panel Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga tahu tentangnya.

Antara lain, esei 19 halaman itu mendakwa IRF dengan hujah liberalnya menyeru perubahan daripada “Islamism” kepada “post-Islamism” dengan nilai “liberal” dan “sekular” – perkataan yang kerap diulangi birokrat Islam di Malaysia terhadap pengkritik mereka.

Beberapa petikan asal esei berkenaan yang dilihat oleh FMT ialah, “IRF was intentionally to mislead secularism and liberalism in post-Islamism by making a paradigm shift to develop understanding secularism and liberalism. Therefore, IRF activities in promoting liberalism, secularism and West values are well known by religious authorities such as JAKIM,” di bahagian rumusannya. FMT tidak mengedit mana-mana bahagian ayat ini.

Menurut esei itu lagi, “While the idea of post-Islamism is boosted several inquiries, Islamic Renaissance Front (IRF) took advantage in gauging Islamism political thought with critics on Islamism principles and additionally recommends post-Islamism approach.”

Petikan lain ialah, “While the discussion about Islamism and post-Islamism is still in critical discussion amongst scholars, Muslims researchers such as Husnul Amin, Ihsan Yilmaz and Ahmad Farouk Musa has submitted a proposal for post-Islamism with more secular and more liberal.”

Atiullah menutup tulisan di Facebook dengan ayat berikut: “Keputusan terkini, saya pertahankan ‘research’ dan jurnal.”

Ketua IRF bidas bahasa Inggeris lemah pensyarah kanan