SPRM tahan 2 ‘Datuk’ berhubung kes tanah Ijok

MELAKA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 6 individu termasuk 2 bergelar Datuk bagi membantu siasatan kes penjualan tanah seluas kira-kira 880 hektar di Ijok, Selangor kepada syarikat pemaju swasta pada harga RM1.18 bilion.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata mereka yang berusia antara 34 dan 84 tahun itu ditahan di Petaling Jaya serta Putrajaya hari ini, dan antara ditahan adalah bapa dan anak lelakinya.

“Siasatan SPRM melibatkan penerimaan bayaran menerusi transaksi wang kira-kira RM200 juta kepada 5 syarikat,” katanya kepada pemberita selepas program Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah di sini hari ini.

Dzulkifli berkata SPRM turut merampas beberapa dokumen penting daripada 3 syarikat berkaitan bagi membantu siasatan.

“SPRM kini sedang mengesan seorang lagi pengarah syarikat bergelar Datuk yang dipercayai berada di luar negara dan seorang lelaki lain bagi membantu siasatan kes sama,” katanya.