3 pelajar lelaki di Klang ditahan kerana memukul

SHAH ALAM: Polis menahan 3 pelajar lelaki malam semalam kerana disyaki memukul seorang pelajar lelaki Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata, ketiga-tiga pelajar berusia 16 hingga 17 tahun itu ditahan di lokasi berasingan di Pelabuhan Klang dan Telok Gong, Klang, kira-kira 8.00 malam.

“Seorang daripada 3 yang ditahan kemudian dibebaskan dengan jaminan polis. Hasil soal siasat, 2 pelajar mengaku terlibat dalam kejadian berkenaan dan kami turut merampas telefon pintar milik salah seorang pelajar ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsul Amar berkata, kedua-dua pelajar itu yang masing-masing berusia 16 dan 17 tahun kini direman 4 hari sehingga Sabtu depan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan,” katanya.

Dalam kejadian Jumaat lepas, seorang pelajar lelaki Tingkatan 2 dikatakan dipukul 2 pelajar lelaki lain selepas dituduh mengganggu seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Klang.

Rakaman video kejadian berkenaan kemudian tular di laman sosial memaparkan mangsa dipukul dan ditendang 2 pelajar berkenaan dan dilihat beberapa individu lain.

Shamsul Amar berkata mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan tiada kecederaan serius dilaporkan.