Ahli Parlimen: Bila akan laksana janji cuti bersalin 90 hari?

KUALA LUMPUR: Tiada langkah diambil sejak 5 bulan lalu selepas pengumuman Bajet 2018 untuk melanjutkan cuti bersalin mandatori di sektor swasta daripada 60 hari kepada 90 hari, sejajar sektor awam, kata seorang ahli Parlimen DAP hari ini.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, berkata amaran kerajaan akan mengambil tindakan terhadao sektor swasta jika tidak mematuhi dasar itu hanya cakap kosong kerana undang-undang berkaitan, iaitu Seksyen 37 Akta Kerja 1955, Seksyen 83 Ordinan Buruh Sabah dan Seksyen 84 Ordinan Buruh Sarawak, belum dipinda.

Semalam, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot berkata kementeriannya tidak berhasrat membentangkan rang undang-undang meminda Akta Kerja di sidang Parlimen kali ini.

Teo bertanya berapa lama kerajaan perlu untuk meminda peruntukan mudah itu: “Wanita memerlukan 10 bulan dari hamil untuk bersalin. Berapa lama kerajaan BN perlu untuk memenuhi janji mudah? Saya harapa ia tidak mengambil lebih 10 bulan.”

Teo berkata, Disember lepas, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib dilaporkan berkata, majikan sektor swasta boleh disiasat dan didakwa jika mereka membuang kakitangan wanita yang mengambil cuti bersalin 90 hari.

Katanya, ini hanya menunjukkan sikap “tidak peduli” timbalan menteri itu kerana undang-undang berkaitan masih belum dipinda. Tiada peruntukan dalam undang-undang berkaitan belum dipinda.

Beliau berkata, tiada peruntukan dalam undang-undang sedia ada yang membenarkan kerajaan mendakwa majikan enggan memberi cuti bersalin 90 hari dan ia turut diakui Riot di Dewan Rakyat, semalam, apabila ditanya beliau.

Teo yang juga setiausaha Wanita Pakatan Harapan, menerusi satu kenyataan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan dalam bajetnya yang 2018 adalah Tahun Memperkasa Wanita.

“Bagaimanapun sehingga hari ini, kita masih tidak pasti apa yang akan dilakukan,” katanya sambil bertanya bila kerajaan akan mendedahkan rancangan penuhnya untuk memperkasa wanita pada 2018.