Ahli Parlimen DAP dakwa guru dilarang terima bantuannya

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen dari Perak mendakwa guru-guru di Manjung memberitahu mereka dilarang menerima bantuan sumbangan buku daripadanya.

Datuk Ngeh Koo Ham (Beruas-DAP) menimbulkan isu itu di Dewan Rakyat hari ini dan meminta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Manjung menjelaskan dasar mereka.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid bangun untuk menjawab tetapi hanya berkata semua PPD di seluruh negara mengamalkan dasar itu.

Mahdzir bagaimanapun tidak mahu menjawab apabila Ngeh meminta penjelasan lanjut berhubung dasar itu.

“Kita tidak bawa politik ke sekolah. Kita hanya ‘murid tua’ kembali ke sekolah, beri sumbangan, beri galakan kepada murid-murid. Adakah ini pengakuan BN bahawa kerajaan politikkan pendidikan?” kata Ngeh selepas itu.

Terdahulu, Ngeh berkata beliau mahu memberikan kamus kepada murid-murid di bekas sekolahnya di Manjung tetapi guru memberitahu mereka tidak boleh mengambil bantuan itu.

Ngeh juga mendakwa dia dan Nga Kor Ming (Taiping-DAP) tidak dibenarkan untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang dianjurkan alumni sekolahnya.

“Kami ‘murid tua’ sekolah itu. Mereka undang saya juga tidak boleh seakan-akan kami ‘murid’ tua tidak bole kembali ke sekolah.

“Boleh saya dapatkan penjelasan kenapa Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Manjung begitu ketat dalam isu ini,” katanya.

Mahdzir secara ringkas berkata perkara itu tidak berlaku di PPD Manjung sahaja tetapi di PPD seluruh negara.

“Ini bukan PPD Manjung sahaja Yang Berhormat, semua PPD pun macam itulah,” katanya ringkas.