Calon Melayu boleh rampas kerusi Raub daripada DAP, kata Umno

Bekas ahli Umno Datuk Ariff Sabri Abdul Aziz menang di Raub atas tiket DAP pada PRU lepas. (Gambar Twitter)

RAUB: Barisan Nasional (BN) mampu merampas kembali Parlimen Raub yang dimenangi DAP pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu berikutan gerak kerja agresif yang dilaksanakan Umno bahagian.

Setiausaha Umno Bahagian Raub, Datuk Tengku Abdul Rahman Tengku Perang berkata, berdasarkan kajian yang dilakukan pihaknya mendapati lebih 50% pengundi Melayu yang memihak kepada pembangkang sebelum ini kini kembali “berstatus putih”.

“Begitu juga dengan pengundi Cina, lebih 20% dalam kalangan mereka kembali menyokong BN, hasil daripada gerak kerja berterusan yang dijalankan selepas PRU lalu.

“Pungutan suara yang dilakukan juga mendapati majoriti pengundi Raub yang juga orang Melayu, berjumlah 30,133 orang atau lebih 50% daripada jumlah keseluruhan pengundi parlimen ini, menyuarakan mereka mahu calon BN kali ini diwakili oleh Melayu atau wakil rakyat daripada Umno.

“Jadi peluang BN menang di parlimen ini agak cerah, cuma kita mahu pucuk pimpinan pertimbangkan suara rakyat ini dengan meletakkan calon yang sesuai,” katanya pada sidang media di bangunan Umno Bahagian Raub, malam tadi.

Pada PRU13, DAP memenangi kerusi Parlimen Raub selepas calonnya, Datuk Ariff Sabri Abdul Aziz menewaskan calon BN, Datuk Hoh Khai Mun daripada MCA dengan majoriti 2,814 undi.

Bagaimanapun, Tengku Abdul Rahman berkata, Umno bahagian bersedia menerima dan menyokong mana-mana calon yang ditetapkan pucuk pimpinan tertinggi BN atas nama solidariti.

Katanya, Ketua Umno Bahagian Raub, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin, turut menyatakan perkara sama semasa mesyuarat jawatankuasa Umno Bahagian Raub 16 Mac lepas dan akan menghormati apa jua keputusan ditetapkan.