Justo dalam usaha bersihkan nama kes peras ugut berkait 1MDB

Xavier Justo didakwa peras ugut kerana mendedahkan dokumen berkait 1MDB selepas meninggalkan PetroSaudi pada 2011.

ZURICH: Pihak pendakwa Switzerland mengkaji semula satu aduan jenayah yang difailkan oleh Xavier Justo, bekas pengarah tenaga syarikat PetroSaudi International Ltd dan watak penting dalam kes 1MDB.

Aduan Justo itu membabitkan 2 bekas rakan sekerja dan seorang rakan sejenayah.

Justo memberitahu Reuters, beliau mahu membersihkan namanya selepas dipenjarakan di Thailand kerana memeras ugut bekas majikannya berkaitan pembohongan mengenai syarikat dana Malaysia, 1MDB, yang terlibat dalam satu usaha sama tenaga dengannya dari 2009 ke 2012.

Dakwaan peras ugut itu timbul apabila Justo meminta wang daripada PetroSaudi dan mengugut mendedahkan kepada umum maklumat yang diperolehi sewaktu bekerja dengan syarikat itu.

PetroSaudi, yang tidak termasuk dalam aduan itu, memberi respons melalui peguamnya bahawa Justo hanya mahu “mengalihkan perhatian daripada salah lakunya sendiri”.

Dokumen dibocorkan Justo selepas meninggalkan PetroSaudi pada 2011 mencetuskan penyiasatan di sekurang-kurangnya 6 negara tentang dakwaan kecurian aset daripada dana 1MDB.

Ia menimbulkan keraguan tentang bagaimana dana usaha sama itu digunakan untuk kemudiannya mencetuskan penyiasatan atas kemungkinan wang daripada usaha sama itu dicuri.

Wang berjumlah AS$4.5 bilion digelapkan oleh pegawai atasan 1MDB dan sekutu mereka, menurut saman sivil yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman AS (DoJ).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menubuhkan 1MDB pada 2009 dan merupakan pengerusi lembaga penasihatnya. Beliau dan 1MDB menafikan sebarang salah laku.

Dipaksa mengaku?

Justo dibebaskan dari penjara Thailand berikutan satu pengampunan pada 2016. Kini beliau mendakwa pengakuannya adalah disebabkan tekanan daripada eksekutif PetroSaudi dan sekutu mereka – termasuk pegawai perhubungan awam dan seorang penyiasat palsu dari London – bagi menutup skandal itu.

Pejabat peguam negara Switzerland mengesahkan ia menerima aduan jenayah Justo dan sedang mengkajinya. Ia tidak memberi apa-apa komen.

PetroSaudi menafikan salah laku berkaitan usaha sama 1MDB dan berkata akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

Berkenaan dakwaan Justo, PetroSaudi melalui peguamnya berkata Justo hanya mengulangi dakwaannya yang bercanggah dengan pengakuan yang dibuat sebelum ini.

“Anak guam kami tidak mengambil apa-apa langkah memaksanya membuat pengakuan palsu. Beliau mengaku memeras ugut kerana bukti terhadapnya adalah jelas dan tidak dapat disangkal,” katanya.

Mereka mempersoal kenapa Justo mengumumkan aduan jenayahnya dalam sidang media selepas beberapa bulan beliau menghubungi pihak berkuasa Switzerland.

“Anak guam kami beranggapan sidang media ini diatur supaya berkebetulan dengan pilihan raya yang akan diadakan di Malaysia, dan PM Najib memimpin partinya dalam pilihan raya itu.”

Justo berkata, pihak berkuasa Switzerland meminta beliau menangguhkan aduannya bagi mengelak daripada mengganggu penyiasatan pengubahan wang yang sedang berjalan ketika itu.

Aduan yang dibuat beliau dan isteri terhadap pengasas bersama dan ketua eksekutif PetroSaudi, Tarek Obaid, bekas pengarah Patrick Mahony dan rakyat Britain, Paul Finnigan, termasuk membuat ancaman, peras ugut, pemerasan, membahayakan nyawa orang lain, memfitnah, menyelewengkan keadilan dan pengubahan wang.

Mereka tidak dapat dihubungi untuk memberi komen.

Justo dijatuhi hukuman 3 tahun penjara pada 2015 di Thailand atas tuduhan peras ugut dan cubaan pemerasan selepas membuat pengakuan mengenainya. Beliau kini berkata, pengakuan itu dibuat kerana tekanan daripada bekas rakan sekerjanya di PetroSaudi dan sekutu mereka, termasuk Finnigan – yang menurut Justo, datang ke Thailand dan menyamar sebagai detektif daripada polis London.

“Tawaran (dengan bekas rakan sekerjanya itu) ialah bekerjasama, beri apa yang mereka mahu…dan anda akan keluar sebelum Krismas 2016,” “jadi saya mengaku,” katanya kepada Reuters. “Ia memang dirancang.”

Justo menafikan beliau cuba memeras ugut PetroSaudi dan berkata, beliau hanya mahu mendapatkan semula baki penyelesaian 6.5 juta franc Switzerland yang dijanjikan sebelum meninggalkan syarikat itu pada 2011.