Kiulu bersiap untuk lawatan bersejarah Najib

Kiulu terkenal untuk perakitan redah jeram dan aktiviti kembara alam.

KOTA KINABALU: Daerah kecil Kiulu sedang bersiap untuk menerima lawatan bersejarah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak esok.

Adun Datuk Joniston Bangkuai berkata walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah melawat Kiulu sebagai timbalan perdana menteri pada 1990-an, ini merupakan lawatan kali pertama oleh seorang perdana menteri.

“Lawatan ini akan menjadi lawatan yang penting dan bersejarah buat Kiulu, terutama selepas ia diisytiharkan sebagai daerah kecil 2 minggu lepas,” kata Bangkuai.

Kerajaan negeri menaik taraf Kiulu kepada daerah kecil pada 6 Mac lepas.

Jonisto berkata jalan raya Telipok-Kiulu-Ranau akan beri memberi manfaat besar kepada pelancongan dan pertanian di Kiulu.

Menurut Bangkuai, Najib dijangka melawat Kiulu, kira-kira 50km dari sini untuk melihat pembinaan jalan raya Telipok-Kiulu-Ranai bernilai RM300 juta.

Anak jati Kiulu itu berkata walaupun Najib hanya akan meluangkan masa selama 1 jam di situ, penduduk beria-ria untuk menyambut perdana menteri dengan meriah.

“Ramai warga Kiulu seronok akan dapat bertemu beliau dan mahu menunjukkan yang terbaik daripada Kiulu. Dia akan datang menaiki helikopter dan boleh lihat sendiri betapa cantiknya Kiulu,” kata Bangkuai.

“Kami menjangkakan kehadiran kira-kira 5,000 dari seluruh Tuaran.”

Kiulu salah satu daripada 3 DUN bawah Parlimen Tuaran, bersama DUN Sulaman dan DUN Tamparuli.

Jalan raya Telipok-Kiulu-Ranau sepanjang 80km itu merupakan laluan kedua ke Ranau.

Laluan itu akan melalui Kiulu dan dijangka meningkatkan ekonomi penduduk, yang kebanyakannya golongan petani.

Walaupun laluan itu bermula di pinggir Kota Kinabalu dan tamat di Ranau, Bangkuai berkata Kiulu paling menerima manfaat daripada projek ini.

“Jalan itu akan mengubah kehidupan kami kerana ia akan meningkatkan pelancongan dan industri tani. Ia akan melalui tidak kurang daripada 20 perkampungan,” katanya.

Projek yang bermula Oktober 2016 dijangka siap Mac tahun depan.

Kiulu, yang bersaiz lebih kecil daripada Singapura, terletak dalam Banjaran Crocker dan mempunyai 105 perkampungan, dengan sebahagian terletak di lembah-lembah.

Keindahan pemandangan lembah-lembah dan persekitaran tenteram, serta sungai yang mempersonakan, menjadikan Kiulu tempat tarikan pelancong, penggemar kembara alam dan kawasan riadah hujung minggu.

Najib dijangka merasmikan satu acara yang diadakan di tebing sungai di Kampung Pukak.

Bangkuai menjangkakan Kiulu akan makmur selepas terpilih sebagai projek perintis pembangunan pelancongan desa.

“Saya mahu Kiulu tunjukkan kepada seluruh Sabah bahawa pelancongan desa boleh memberi manfaat kepada seluruh masyarakat dari segi mencipta pekerjaan dan mengukuhkan ekonomi.

“Kami berharap dapat menerima manfaat daripada RM500 juta yang diperuntukkan untuk pembangunan rumah inap dan naik taraf prasarana eko-pelancongan, seperti yang diumumkan perdana menteri dalam belanjawan 2018.

“Pembaikan jalan raya dan kemudahan asas lain sangat penting untuk mempergunakan potensi pelancongan Kiulu sepenuhnya.”