Mukhriz nafi berurusan secara peribadi dengan firma Britain pada PRU13

PETALING JAYA: Datuk Seri Mukhriz Mahathir menafikan beliau menggunakan khidmat syarikat berpangkalan di United Kingdom, selepas laporan yang menyatakan syarikat itu terlibat dalam memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Kedah pada pilihan raya umum lalu.

Bekas menteri besar Kedah yang kini timbalan presiden PPBM itu merujuk kenyataan Jabatan Perdana Menteri yang berkata wakil dari syarikat induk Cambridge Analytica (CA) di Malaysia berurusan dengan Mukhriz secara peribadi, dan bukan melalui BN mahupun Putrajaya.

“Bagaimanapun, wakil Kumpulan SCL di negara ini hari ini mengesahkan kepada kerajaan bahawa nasihat CA tentang PRU13 diberikan kepada Mukhriz secara peribadi. Wakil SCL juga mengesahkan bahawa dia melapor terus kepada Mukhriz, bukan BN atau kerajaan,” kata JPM semalam, susulan laporan media British, Channel 4 yang memetik pegawai tinggi CA sebagai berkata ia turut membantu kejayaan BN di Malaysia, khususnya di Kedah, menerusi sebaran Facebook.

Mukhriz berkata kerajaan cuba mengalih perhatian daripada kemungkinan syarikat itu menggunakan taktik kotor dalam kempen pilihan raya.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa saya punyai sebarang hubungan dengan Cambridge Analytica pada bila-bila masa,” katanya kepada FMT.

Dokumentari terbitan Channel 4 secara rahsia merakamkan eksekutif tertinggi CA mendakwa mereka boleh menggunakan rasuah, bekas perisik dan pekerja seks untuk memerangkap ahli politik seluruh dunia, selain mendakwa pernah melakukan kerja-kerja pilihan raya di Malaysia.

Syarikat itu terbabit dalam skandal menyalah guna berjuta-juta data peribadi dan dikaitkan dengan beberapa tokoh perniagaan berhaluan kanan di Amerika Syarikat yang menyokong kempen Donald Trump.

Susulan pendedahan itu, PPBM menggesa BN untuk menjawab sama ada ia menggunakan khidmat CA.

Timbalan Ketua Biro Dasar dan Strategi Wan Saiful Wan Jan merujuk kepada syarikat berkaitan CA, yang mendakwa di laman webnya, bahawa ia membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada pilihan raya umum lepas.

Menurut CA Political, ia membantu BN menang di Kedah pada pilihan raya lepas dengan “kempen mesej terarah yang menonjolkan pembaikan sekolah sejak 2008.”

Mukhriz dilantik sebagai menteri besar Kedah selepas BN merampas negeri itu daripada PAS pada 2013.

Tetapi beliau berkata “tidak pernah kenal CA atau pernah melibatkan mereka untuk membuat sebarang kerja.”

“Jika mereka mendakwa terlibat dalam PRU13 di Kedah, saya tidak sedar akan perkara tersebut.

“Tiada satupun strategi dan taktik yang saya gunakan sebagai pengarah pilihan raya untuk BN Kedah diambil daripada nasihat CA.

“Barangkali mereka memberi khidmat konsultan dengan Pejabat Perdana Menteri atau ibu pejabat BN,” katanya sebelum ini.