Mukhriz pertahan kenyataan tidak berurusan dengan firma Britain

PETALING JAYA: Datuk Seri Mukhriz Mahathir sekali lagi mempertahankan kenyataan sebelum ini yang menafikan beliau menggunakan khidmat syarikat berpangkalan di United Kingdom, selepas laporan menyatakan syarikat itu terlibat dalam memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Kedah pada pilihan raya umum lalu.

Bekas menteri besar Kedah itu merujuk kepada kenyataan terbaru Ketua Kumpulan SCL Asia Tenggara, Azril Zizal yang menuduh beliau berbohong mengenai perkhidmatan yang diberikan Cambridge Analytica (CA).

Kumpulan SCL (SCL) merupakan syarikat induk kepada CA, yang terbabit dalam skandal menyalah guna berjuga-juta data peribadi.

“Saya berpegang teguh kepada kenyataan awal saya berkenaan dengan hal ini. Sudah jelas bahawa Azrin berbohong,” kata timbalan presiden PPBM itu.

Sebelum itu Azrin dalam kenyataan hari ini berkata Mukhriz memutarbelitkan fakta apabila menafikan ada menerima sebarang nasihat daripada CA pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Azrin mendakwa nasihat daripada CA dan SCL bagi Kedah semasa pilihan raya umum ke-13 disampaikan kepada Mukhriz semasa dia bertugas untuk Mukhriz secara peribadi sehingga 2015.

Mukhriz bagaimanapun meminta Azin merujuk kepada laman web Cambridge Analytica yang menyatakan CA membantu BN Kedah.

“Kita semua harus sedar bahawa CA dan SCL ketika ini berdepan tuduhan telah menipu dan menyebarkan berita palsu untuk manfaat parti-parti politik tertentu yang melanggani perkhidmatan mereka,” kata pemimpin PPBM itu.

“Amat bodoh sekali jika mereka harap rakyat kini akan mempercayai apa yang mereka katakan,” tambahnya.

Dokumentari terbitan Channel 4 secara rahsia merakamkan eksekutif tertinggi CA mendakwa mereka boleh menggunakan rasuah, bekas perisik dan pekerja seks untuk memerangkap ahli politik seluruh dunia, selain mendakwa pernah melakukan kerja-kerja pilihan raya di Malaysia.

Susulan pendedahan itu, PPBM menggesa BN untuk menjawab sama ada ia menggunakan khidmat CA.

Timbalan Ketua Biro Dasar dan Strategi Wan Saiful Wan Jan merujuk kepada syarikat berkaitan CA, yang mendakwa di laman webnya, bahawa ia membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada pilihan raya umum lepas.

Menurut CA Political, ia membantu BN menang di Kedah pada pilihan raya lepas dengan “kempen mesej terarah yang menonjolkan pembaikan sekolah sejak 2008.”

Mukhriz dilantik sebagai menteri besar Kedah selepas BN merampas negeri itu daripada PAS pada 2013.

Sementara itu, Mukhriz mempertikaikan dakwaan Azrin tentang perkhidmatannya dengan beliau.

“Saya ingin tahu bagaimana Azrin akan membuktikan bahawa dia seorang pegawai saya ketika saya memegang jawatan menteri besar Kedah, padahal setiap wakil media di Kedah tahu bahawa setiausaha akhbar saya waktu itu ialah Mohd Fisol Jaafar.

“Sehingga sekarang Mohd Fisol masih pegawai media saya,” katanya.

Mukhriz bohong, kata bekas pegawai media