Polis sarat hutang tidak diberi tugas ‘berisiko tinggi’ rasuah

PETALING JAYA: Anggota dan pegawai polis yang mempunyai masalah kewangan serius tidak akan diberikan tugas “berisiko tinggi” berlaku rasuah atau salah guna kuasa, kata seorang pegawai tinggi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Pegawai tinggi itu memberitahu China Press, anggota dan pegawai terbabit tidak akan diberikan tugas barisan depan seperti di jabatan jenayah atau narkotik kerana mereka biasanya akan ditugaskan dalam pejabat.

Akhbar itu memetik statistik polis yang menunjukkan 15,000 pegawai dan anggota dalam pasukan keselamatan itu berhutang pada Januari 2017.

Faktor utama ialah mereka tidak tahu menguruskan kewangan, termasuk pinjaman peribadi, menggunakan kad kredit tanpa kawalan, menanggung kos persekolahan anak dan sesetengah anggota muda yang lebih mementingkan kebendaan menyebabkan perbelanjaan serta pendapatan tidak seimbang.

Pegawai tinggi itu berkata, bagi membantu anggota menyelesaikan masalah kewangan, polis akan bekerjasama dengan Bank Negara serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk mendidik mereka cara pengurusan kewangan yang betul.

“Maklumat peribadi, termasuk pangkat, gaji dan aset anggota yang mempunyai masalah kewangan serius akan dicatatkan dalam ‘sistem kawalan disiplin dan dadah’ bagi memastikan mereka menjauhi dadah, salah guna kuasa dan menolak rasuah.”

Beliau berkata, pemantau akan menemui anggota terbabit sebulan sekali bagi menilai dan mengikuti perkembangan hutang mereka serta memberikan nasihat.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, anggota dan pegawai yang mempunyai pendapatan boleh digunakan (take home pay) kurang 40% daripada gaji mereka perlu menjalani kaunseling pengurusan kewangan.

Pendapatan boleh digunakan itu ialah baki gaji selepas dipotong cukai, ansuran pinjaman dan hutang.

Pada Mac 2017, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dilaporkan berkata, sesetengah pegawai tidak telus ketika mengisytiharkan hutang mereka, sementara ada anggota muda dan baharu hidup di luar kemampuan masing-masing.

“Selain pendapatan yang ditolak oleh polis, mereka ambil pinjaman beli rumah, perabot dan kereta tanpa memaklumkan kepada pegawai atasan,” katanya.

Beliau berkata, pegawai yang mempunyai baki di bawah 40% daripada pendapatan bulanan sedang dipantau kerana kajian menunjukkan keadaan kewangan anggota polis boleh menyebabkan mereka terbabit dalam rasuah, berpotensi tinggi membawa persepsi negatif kepada pasukan itu.

Dalam perkembangan lain, Fuzi ketika menemui anggota dan pegawai polis di Maktab PDRM Kuala Lumpur, semalam, berkata pihaknya memandang serius masalah dadah dalam pasukan itu dan mereka melalui JIPS meningkatkan kesedaran anggotanya terhadap bahaya dadah.

Beliau memberi amaran pasukan keselamatan itu tidak boleh mempunyai anggota yang akan menjejaskan imej polis.

Polis sarat hutang dipantau, kata Nur Jazlan