Wanita muda ditahan berhubung kes campak kerusi

KUALA LUMPUR: Hasil laporan kimia berhubung kes seorang remaja lelaki mati ditimpa kerusi dipercayai dicampak dari tingkat atas Projek Perumahan Rakyat Seri Pantai, Pantai Dalam, di sini, pada 15 Januari, membawa kepada penahanan suspek wanita muda.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata suspek 23 tahun itu disoal siasat dalam tempoh reman dan tiada sebarang pengakuan daripada suspek.

“Pihak Bukit Aman sudah merakam dan menyoal siasat melalui kaedah analisis tekanan suara (VSA) tetapi hasil siasatan negatif.

“Suspek diberi jaminan bon bawah Seksyen 118 KPJ di Mahkamah Majistret Jalan Duta pada Jumaat lepas. Sehingga kini, tiada sebarang perkembangan terbaru mengenai kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazlan berkata polis masih meneruskan siasatan dan berharap orang ramai mempunyai maklumat kes ini hendaklah menyalurkannya kepada polis bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian kira-kira 8.10 malam 15 Januari lepas, mangsa S Sathiswaran, 15, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sebelum ini polis dilaporkan memanggil 43 orang bagi membantu siasatan dan analisis tekanan suara VSA terhadap 5 individu disenarai pendek mendapati hasilnya negatif.