Zahid: Kerajaan akan serap kos pengangkutan barangan KR1M 2.0

Zahid Hamidi memberi jaminan harga barangan KR1M 2.0 dapat dikekalkan lebih rendah daripada harga pasaran.

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyerap kos pengangkutan barangan Kedai Rakyat 1Malaysia 2.0 (KR1M 2.0) bagi menyamaratakan harga jualan barangan KRIM 2.0 di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, kata timbalan perdana menteri.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata penyerapan harga ini akan dilakukan secara berpanjangan dan sedang melihat untuk melebarkannya.

“Kerajaan berharap langkah-langkah yang dilakukan perdana menteri (Datuk Seri Najib Razak) akan dapat diteruskan selain daripada penyebarluasan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan outlet KRIM2.0 di Terminal Bersepadu Selatan, Bandar Tasik Selatan hari ini.

Zahid memberi jaminan harga barangan KR1M 2.0 dapat dikekalkan lebih rendah, melalui rundingan harga melibatkan pengilang dan pengeluar, disamping langkah penyerapan harga yang diumumkan hari ini.

“Kita telah menjadi kertas cadangan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan) dan beberapa implikasi kewangan…kita menganggap elemen rundingan harga daripada pengilang dan pengeluar akan membawa kepada bawah harga pasaran.”

KR1M diperkenalkan pada 2011, melalui kerjasama kerajaan dan pihak swasta, untuk menyediakan produk harga murah kepada golongan miskin bandar.

Namun selepas kontroversi mutu barangan dan harga yang didakwa dijual lebih mahal daripada harga pasaran, Zahid pada 29 Julai tahun lalu mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menamatkan kontrak pengendali KR1M.

KR1M dilancarkan semula sebagai KR1M 2.0 pada Februari lalu dengan model baharu, dan sekarang terdapat kira-kira 50 KR1M 2.0 beroperasi di beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/29/zahid-arah-tamat-kontrak-pengendali-kr1m-jual-barang-mahal/