Zahid mahu Irmohizam sembahyang hari-hari di surau berbeza

Zahid mahu Irmohizam selalu turun kawasan memandangkan BN menang di Puncak Alam dengan majoriti nipis.

PUNCAK ALAM: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mahu Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Irmohizam Ibrahim beri tumpuan terhadap kawasannya kerana BN pernah kecundang di situ pada pilihan raya umum ke-12 (PRU12).

Beliau mengingatkan Irmohizam bahawa BN memenangi Kuala Selangor pada pilihan raya lepas dengan perbezaan undi yang nipis.

“PRU12 kita kalah dengan majoriti 862 undi manakala PRU13 kita menang 460 undi. Irmohizam, kerusi ini perlu diberi tumpuan lebih,” kata Zahid dalam ucapannya di satu majlis hari ini.

“Di Puncak Alam ini, Pusat Daerah Mengundi (PDM) ada 7,500 orang. PDM ini antara yang terpenting di Kuala Selangor. Datang selalu dan kalau boleh sembahyang hari-hari di surau yang berbeza,” katanya.

Pada PRU12, calon PAS, Dzulkefly Ahmad memperoleh 18,796 undi mengalahkan calon BN, Datuk Jahaya Ibrahim yang memperoleh 17,934 undi.

Pada PRU13, Irmohizam menumbangkan Dzulkefly dengan 27,500 undi berbanding 27,040 undi.

Di majlis Sentuhan Rakyat hari ini, Zahid menempelak kerajaan Selangor yang mendakwa membawa pembangunan ke negeri itu.

“Kita harus lihat dulu di Puncak Alam bila UiTM dinaikkan, ketika itu kerajaan BN yang ada. Unisel ada pun bukan kerajaan yang sekarang. Senang-senang nak kata ‘pembangunan dibawa oleh kami’.

“Sudahlah, ini semua duit kita. BN majukan Selangor, BN majukan Kuala Selangor, BN mahukan Puncak Alam kerana kita mahu memberikan perkhidmatan terbaik untuk penduduk Puncak Alam,” katanya.

Di majlis ini juga, Zahid meluluskan peruntukan untuk membina sebuah balai polis, sebuah dewan terbuka Transforomasi Nasional 2050 (TN50) dan menaiktaraf perkarangan jalan di 5 pangsapuri.