Adil jika kenakan cukai ke atas syarikat online, kata pakar

Perniagaan konvensional berada pada kedudukan merugikan dari segi cukai berbanding perniagaan atas talian, kata seorang pakar. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Cadangan kerajaan mengenakan cukai ke atas syarikat teknologi gergasi boleh menjadi sumber hasil utama negara pada masa depan, kata pakar ekonomi.

Yeah Kim Leng, profesor di Fakulti Perniagaan Universiti Sunway berkata cukai ke atas perniagaan atas talian juga akan mewujudkan padang permainan yang saksama.

Beliau berkata, ini kerana perniagaan konvensional berada pada kedudukan merugikan dari segi cukai berbanding perniagaan atas talian.

“Perniagaan konvensional membayar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan cukai korporat pada kadar domestik, sedangkan syarikat gergasi teknologi boleh memilih mana-mana negara dengan kadar cukai paling rendah.

“Sesetengah perniagaan atas talian memang tertakluk kepada cukai domestik, seperti GST. Kerajaan perlu memperluas skop tersebut untuk turut merangkumi syarikat teknologi yang berpangkalan di negara luar, tetapi menjalankan perniagaan dan perdagangan atas talian mereka di sini,” kata Yeah.

Beliau berkata, langkah ini memerlukan kerjasama antara kerajaan.

“Harus ada usaha di peringkat dunia tentang bagaimana syarikat teknologi ini boleh dicukai dalam dunia tanpa sempadan yang ada kini bagi mewujudkan ‘padang permainan yang saksama’ untuk semua negara, bukan hanya terhad kepada perniagaan atas talian dan perniagaan konvensional,” katanya kepada FMT.

Yeah memberi respons kepada langkah Kementerian Kewangan untuk menjalankan kajian terperinci mengenai cadangan cukai ke atas syarikat teknologi gergasi dan platform media sosial seperti Google dan Facebook.

Menteri Kewangan kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kajian itu dijalankan kerana keperluan, selain mencari mekanisme dan model percukaian terbaik.

“Ia juga bertujuan memantau kajian semula menyeluruh mengenai cukai ke atas perniagaan atas talian yang dijalankan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD)”, katanya di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Yeah berkata, sekarang ini syarikat teknologi gergasi membayar cukai keuntungan yang sangat rendah atau cuba lari daripada membayar apa-apa cukai pun.

“Perniagaan atas talian sedang berkembang dan akan menjadi punca penting untuk kerajaan memperluas asas cukainya.

Bagaimanapun, kata Yeah, jika firma teknologi perlu melepaskan sebahagian daripada keuntungan mereka untuk kebaikan masyrakat, kesan negatif cukai itu bermakna pengguna perlu memikul beban cukai penggunaan yang dikenakan.