Datin dera amah dilarang keluar Malaysia

Mustafar berkata pihaknya sedang periksa sama ada Rozita Mohd Ali ada buat cubaan keluar negara. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Datin yang hilang semalam selepas disabit bersalah kerana mendera pembantu rumahnya pada 2016 disenaraihitamkan daripada keluar negara, lapor The Star hari ini.

Akhbar itu memetik Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata pihanya menerima perintah mahkamah melarang Rozita Mohd Ali keluar negara.

Mustafar berkata Imigresen juga sedang memeriksa sama ada Rozita membuat sebarang cubaan meninggalkan negara.

Polis menjalankan pencarian semalam selepas dia dan penjamin gagal hadir ke mahkamah bagi semakan hukuman.

Timbalan pendakwa raya, Muhammad Iskandar Ahmad berkata, mahkamah diberitahu polis tidak menemui Rozita di alamat terakhir di Kuala Lumpur dan Melaka.

Rozita, 44, diikat jamin selama 5 tahun dengan bon RM20,000 oleh Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya Mohammed Mokhzani Mokhtar selepas menukar pengakuan kepada bersalah kerana menyebabkan kecederaan teruk kepada pembantu rumah warga Indonesia, Suyanti Sutrinso.

Klip video Suyanti yang cedera parah dan terbaring berhampiran longkang di kawasan perumahan Mutiara Damansara tersebar pada Disember 2016.

Menurut laporan, Rozita didakwa menggunakan pisau dapur, penyangkut baju, mop besi dan payung untuk mencederakan kepala, tangan, kaki dan organ dalaman Suyanti.

Satu petisyen atas talian menolak keputusan mahkamah itu mendapat hampir 70,000 tandatangan.

Hakim Tun Abd Majid Tun Hamzah menetapkan 29 Mac bagi mendengar permohonan daripada pihak pendakwaan.

Tun Majid berkata, Mahkamah Sesyen kini boleh mengenakan hukuman penjara jika Rozita gagal mematuhi syarat ditetapkan, termasuk memberikan alamat kediaman terakhirnya.

Iskandar yakin Rozita dan penjamin akan hadir pada tarikh perbicaraan akan datang.

Beliau berkata berlaku salah faham dalam usaha mencari penjamin berkenaan tetapi beliau enggan menjelaskannya.

Iskandar berkata, peguam yang mewakili Rozita memaklumkan beliau tidak lagi mewakili wanita itu.

Datin dera amah hilangkan diri