Miliki pelbagai majalah berkaitan IS, peniaga dipenjara 4 tahun

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga dihukum penjara 4 tahun oleh Mahkamah Tinggi hari ini kerana memiliki 27 naskhah majalah mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas IS tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak menjatuhkan hukuman itu ke atas Jailani Jurimi, 41, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan ditawarkan pihak pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Mohd Sofian berkata Jailani bernasib baik kerana pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan yang memperuntukkan hukuman lebih ringan iaitu penjara maksimum 7 tahun berbanding pertuduhan asal yang membawa hukuman penjara maksimum sehingga 30 tahun.

“Mahkamah berpendapat kamu diberi peluang ke-2 untuk memperbaiki diri kamu. Dan apabila kamu selesai menjalani hukuman penjara, (diharap) kamu akan jadi rakyat berguna pada negara. Daripada penelitian barangan kes terutama jilid-jilid majalah begitu tebal, mengandungi rencana dan gambar dan sekiranya dibaca, ia membakar semangat ingin menyertai kumpulan IS.

“Kamu bernasib baik tidak sampai ke tahap itu (menyertai kumpulan IS), lebih baik baca bahan berilmiah berfaedah daripada baca bahan berkaitan IS,” kata hakim itu yang memerintahkan Jailani menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkap pada 7 Ogos 2017.

Mengikut pertuduhan pilihan, Jailani didakwa memiliki 15 naskhah majalah Dabiq, 10 naskhah majalah Rumiyah dan 2 naskhah majalah Waislama yang mempunyai kaitan IS di telefon bimbitnya di Bilik Kawalan Terminal TCO, Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru, Johor, pada 5.30 petang, 7 Ogos 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan boleh dihukum di bawah Subseksyen 130JB(1) kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item tersebut.

Terdahulu Jailani berdepan pertuduhan asal iaitu dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS dengan cara memiliki bahan berkaitan kumpulan itu mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Subseksyen 130J(1) kanun sama, membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara sehingga 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniatkan untuk melakukan kesalahan itu.

Jailani yang tidak diwakili peguam ketika membuat rayuan mengakui kejahilannya yang tidak mengetahui bahawa memiliki majalah tersebut merupakan satu kesalahan dan memberitahu dia telah menyesal dan insaf serta berjanji akan lebih berhati-hati dalam tindakannya selepas ini.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh serta amaran kepada masyarakat agar tidak mencontohi perbuatan sama selain mengambil kira peningkatan kes keganasan di negara ini yang menjadi satu ancaman bersifat global.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis telah menahan tertuduh di tempat kejadian serta merampas sebuah telefon bimbit dan hasil analisis terhadap telefon bimbit itu terdapat 27 salinan dokumen berbentuk PDF berkaitan keganasan di dalamnya.

Kesemua majalah tersebut secara terang dan jelas menyatakan sokongan terhadap perjuangan kumpulan pengganas IS melalui tajuk, isi kandungan berserta logo IS terkandung dalam semua majalah tersebut yang membawa maksud dakyah dan sokongan padu terhadap perjuangan IS.