Najib mahu meredah jeram jika BN menang Tuaran

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berikrar akan kembali Kiulu dan mencuba rakit redah jeram, produk pelancongan utama Kiulu, jika Barisan Nasional (BN) menang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, beliau berkata pengundi Parlimen Tuaran mesti memastikan BN bukan sahaja menang kerusi itu tetapi juga 3 kerusi DUN di bawahnya iaitu Kiulu, Sulaman dan Tamparuli.

Tamparuli kini dipegang pembangkang.

Najib, yang berjanji kepada 5,000 hadirin selepas melawat projek jalan raya yang menghubungkan Kiulu ke Randagong di Ranau kira-kira 70km dari sini, juga berjanji akan menunaikan permohonan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilred Madius Tangau untuk menaiktaraf jalan raya sepanjang 22km yang menghubungkan Tamparuli dan Kiulu.

“Saya nampak kawasan ini berpotensi besar dan saya fikir tumpuan yang kerajaan negeri berikan pada pelancongan desa di sini langkah yang betul.

“Sekarang ini, kira-kira 53,000 pelancong datang ke Kiulu setiap tahun dan saya harap jumlah itu akan cecah 100,000 kerana kerajaan akan terus membuat pelaburan dalam pembangunannya.”

Najib mendengar taklimat Pengarah Jabatan Kerja Raya Sabah Amrullah Kamal tentang kemajuan jalan raya Kiulu-Randagong.

Najib berkata pengangkutan akan lebih lancar dan rakayat boleh bergerak dengan lebih mudah dan selesa apabila projek Kiulu-Randagong siap tahun depan.

Jalan raya itu juga akan memacu ekonomi tempatan dan meningkatkan nilai hartanah, tambahnya.

Beliau berkata projek RM288 juta itu mematahkan dakwaan pembangkang mengatakan Malaysia akan muflis, kerana negara muflis tidak akan mampu menjalankan projek prasarana besar seperti Lebuhraya Pan Borneo.

Beliau memberitahu orang ramai bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) banyak berjasa kepada Sabah, termasuk mengangkat 7 anak negeri itu ke Kabinet persekutuan.

Najib berkata beliau kerap melawat Sabah berbanding bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun pemerintahannya.

“Dr Mahathir tidak peduli orang di sini. Dia tak pernah peduli untuk beri jalan raya yang sangat diperlukan kepada rakyat.

“Sebaliknya, kerajaan sedia ada tidak sekadar berjanji atau bercakap untuk memburukkan orang lain. Kita bawa pembangunan, bukan sahaja untuk Sabah tetapi ke seluruh Malaysia.”

Beliau menambah ada banyak perkara yang pembangkang tidak mampu berikan kepada rakyat, seperti mengukur tanah adat.

“Pembangkang tidak boleh berikan anda hak anda bawah Perjanjian Malaysia 1963 tetapi kami sedia menyerahkan hak yang mungkin secara tidak sengaja terambil daripada kerajaan negeri.

“Oleh itu, rakyat harus membalas bantuan itu di peti undi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman dalam ucapannya berkata projek jalan raya itu akan sama sekali mengubah daerah kecil itu kerana ia akan memacu industri pelancongan dan pertanian.

“Rakyat mahukan pembangunan dan kita bertuah ada perdana menteri yang banyak menyumbang kepada kita, membelanjakan hampir RM300 juta untuk Kiulu bagi membiayai projek ini.

“Di samping itu, beliau juga memberikan dana jutaan ringgit untuk pembangunan luar bandar, menyediakan antara lain elektrik dan jalan raya untuk rakyat.

“Kita juga menerima RM1 bilion untuk membaiki sekolah-sekolah usang di seluruh Sabah. Ini sebabnya kita berterima kasih ada seorang perdana menteri yang prihatin tentang Sabah,” katanya.