Nasib pegawai Felda terlibat skandal Jalan Semarak diketahui 3 bulan lagi

Gambar Twitter

KUALA LUMPUR: Nasib pegawai-pegawai Felda yang terlibat dalam skandal pindah milik hak tanah Felda di Jalan Semarak kepada pihak swasta akan diketahui 3 bulan lagi, kata Datuk Razali Ibrahim.

Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan Februari lepas akan memberikan syor tindakan yang perlu diambil kepada lembaga pengarah Felda dalam tempoh itu.

“Kita bagi 3 bulan kepada jawatankuasa. Dalam jawatankuasa itu pun ada peguam penasihat yang dilantik dan semua bebas sebab kita menyiasat agensi sendiri,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) yang meminta kerajaan menyatakan tindakan yang diambil terhadap pegawai-pegawai Felda yang terlibat dalam skandal pindah milik tanah kerajaan.

Pada 21 Disember lalu Berita Harian mendedahkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, dianggarkan bernilai RM270 juta, apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Tanah itu sedang dimajukan untuk membina Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), sebuah projek bernilai tinggi membabitkan 7 menara.

Menurut akhbar itu, pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan Felda memberikan surat kuasa wakil penuh kepada syarikat itu bagi membangunkan tanah itu.

Tanah itu kemudian didapati dipindah milik kepada syarikat itu sejak Disember 2015, dan satu lot daripada tanah terlibat didapati ditukar nama kepada sebuah syarikat lain yang ada kaitan dengan pemaju utama pada 21 Julai 2016.

Felda menubuhkan satu jawatankuasa siasatan pada 9 Februari lepas untuk melakukan semakan perundangan ke atas dakwaan berlakunya penipuan dalam projek KLVC berdasarkan laporan audit forensik ke atas transaksi dan rekod berkaitan projek itu pada 2014.

Jabatan Perdana Menteri berkata laporan audit forensik yang dijalankan terhadap projek KLVC menunjukkan terdapat ketidakpatuhan prosedur perolehan dan kecuaian dalam menjaga kepentingan Felda.

3 bulan untuk Felda siasat penipuan tanah Jalan Semarak