Pengasas Facebook akui silap dalam skandal kebocoran data

Gambar Facebook

SAN FRANCISCO: Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg, pada Rabu mengakui syarikatnya melakukan kesilapan berhubung skandal kebocoran data sehingga menjejaskan privasi pengguna, dan mungkin disalah guna untuk tujuan politik.

“Kami melakukan kesilapan. Terdapat banyak lagi harus dilakukan, dan kami perlu meningkatkan usaha serta melaksanakannya,” kata beliau dalam satu kenyataan seperti dipetik agensi berita China Xinhua.

Facebook terjerumus dalam kancah kontroversi selepas media Amerika Syarikat (AS) dan Britain melaporkan, data lebih 50 juta pengguna digunakan oleh syarikat penganalisis data Britain, Cambridge Analytica, dalam aktiviti didakwa mempunyai kaitan dengan kempen pilihan raya Presiden AS, Donald Trump, pada 2016.

Zuckerberg berkata Facebook akan mengambil langkah sewajarnya bagi mencegah kesilapan itu berulang.

Pada Isnin, saham Facebook jatuh sebanyak 7%, kejatuhan paling ketara dalam tempoh 4 tahun, susulan insiden kebocoran data itu.

Facebook mengupah firma forensik digital, Stroz Friedberg, untuk menyiasat insiden itu.