PH Johor desak aktivis Mazlan Aliman dibebaskan

Mazlan ditahan polis di rumahnya dekat Felda Sungai Ramun, Kulai. (gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) Johor hari ini mendesak pembebasan pengkritik Felda yang lantang, Mazlan Aliman, yang ditangkap polis awal pagi tadi.

Gabungan pembangkang itu akan melakukan mobilisasi untuk meraih sokongan rakyat bagi mengecam tangkapan “zalim dan tidak adil” terhadap pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda (ANAK) itu.

“PH Johor terkejut dengan berita penangkapan Mazlan Aliman di kediamannya dekat Felda Sungai Ramun, Kulai 1.53 pagi tadi.

“PH Johor juga mengecam tindakan polis yang berkeras menahan Mazlan pada waktu yang amat tidak munasabah sehingga menimbulkan tanda tanya, kesalahan berat apakah yang telah dilakukan oleh beliau?”

Kenyataan ditandatangani Pengerusi PH Johor Tan Sri Muhyiddin Yassin dan para pengerusi parti-parti komponen negeri, Aminolhuda Hassan (Amanah), Datuk Shahruddin Md Salleh (PPBM), Hassan Karim (PKR) dan Liew Chin Tong (DAP).

Polis menahan Mazlan selepas laporan polis dibuat terhadapnya oleh isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada Isnin, selepas ahli jawatankuasa pusat Amanah itu mendakwanya terlibat dalam projek penternakan ikan sturgeon yang gagal dilaksanakan selepas memakan belanja berjuta ringgit oleh Felda.

Projek itu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu yang turut menangkap beberapa pegawai Felda.

Mazlan di satu program ceramah bulan ini mendakwa beliau diberitahu seorang pegawai Felda yang ditahan SPRM bahawa projek itu mendapat “restu” Datuk Seri Najib Razak, di mana isteri beliau Rosmah menasihatkan pegawai Felda cara menggerakkan projek terbabit.

PH Johor berkata polis boleh sahaja meminta Mazlan hadir ke balai untuk diambil keterangan dan tidak perlu melakukan tangkapan.

“Hal ini amat tidak masuk akal. Mazlan adalah individu yang dikenali ramai dan dari rekod lalu, beliau telah memberikan kerjasama yang sangat baik terhadap pihak berkuasa serta tidak pernah melarikan diri.

“PH Johor mengesyaki penangkapan Mazlan bermotif politik. Pendedahan Mazlan berkaitan pembabitan isteri Perdana Menteri dalam isu kegagalan projek ikan sturgeon mutakhir ini barangkali menjadi antara faktor tangkapan ini dilakukan.

“Kami berpendapat, sebarang persoalan mengaitkan isu politik yang timbul mestilah diselesaikan dengan hujah dan fakta. Bukan mengekang dengan kuasa. Ini adalah suatu bentuk tindakan dayus dan tidak bermaruah.

“Ia merupakan suatu kezaliman terhadap anak, isteri dan keluarga Mazlan.”

Kenyataan itu berkata Mazlan seorang aktivis akar umbi yang memperjuangkan nasib peneroka Felda.