Polis tahan aktivis Felda Mazlan Aliman

Mazlan Aliman, pengerusi ANAK. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Polis malam tadi menahan pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman, beberapa hari selepas laporan polis dibuat terhadapnya oleh isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Mazlan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai, Johor, di mana beliau dibacakan haknya di bawah tangkapan polis.

Isnin lalu, Rosmah membuat laporan polis terhadap Mazlan, selepas ahli Jawatankuasa Pusat Amanah itu mendakwanya terlibat dalam projek penternakan ikan sturgeon yang gagal dilaksanakan selepas memakan belanja berjuta ringgit oleh Felda.

Projek itu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu yang turut menangkap beberapa pegawai Felda.

Mazlan dalam sebuah program ceramah pada bulan ini mendakwa beliau diberitahu seorang pegawai Felda yang ditahan SPRM bahawa projek itu mendapat “restu” Datuk Seri Najib Razak, di mana isteri beliau Rosmah menasihatkan pegawai Felda cara menggerakkan projek terbabit.

“Tuduhan sebegini menyebabkan terjadinya buruk sangka dalam kalangan netizen, lantas menjejaskan reputasi dan integriti anak guam saya,” kata peguam Rosmah, NoorHajran Mohd Noor.

Projek gagal Felda: Rosmah lapor polis pemimpin Amanah fitnah beliau