PRU14: Ibrahim Ali sah bertanding, pertimbang 2 kawasan

KUALA LUMPUR: Datuk Ibrahim Ali hari ini mengesahkan akan menyertai pilihan raya umum ke-14, dan dengan harapan akan bertanding atas tiket parti.

Ahli politik yang lahir di Tumpat itu sedang mempertimbangkan antara Parlimen Pasir Mas, yang pernah disandang sebelum ini, atau Parlimen Rantau Panjang.

“Rata-rata rakyat nampak ghairah mahu saya bertanding sebab sejak saya jadi wakil rakyat di sana. Emosi mereka cukup jelas,” kata ahli politik berusia 67 tahun itu pada sidang media di ibu pejabat Perkasa hari ini.

“Mereka tahu buruk baik khidmat saya dan mereka boleh banding dengan wakil rakyat lain. Walaupun ‘janda’ banyak jugalah yang minat,” tambahnya, merujuk kepada rekodnya bertanding pilihan raya sejak 1986.

Pada PRU13, Ibrahim sebagai calon bebas tewas di tangan calon PAS Nik Mohamad Abduh, yang juga anak kepada bekas menteri besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dengan majoriti 8,047 undi.

Pada PRU12, beliau menang Pasir Mas atas sokongan PAS, selepas dikecewakan pada PRU 2004, 1999 dan 1995. Beliau pernah memenangi kerusi itu pada 1986 atas tiket Umno dan 1990 atas tiket Semangat 46.

Di Rantau Panjang, calon BN Ghazali Ismail tewas di tangan calon PAS, Siti Zailah Mohd Yusoff dengan majoriti 6,362 undi.

Beliau kini bergerak dalam arus politik negara sebagai presiden Perkasa, sebuah gerakan hak Melayu yang diasaskan pada 2008.

Ibrahim berkata kali ini juga beliau lebih berminat untuk bertanding bawah bendera parti, selepas tewas 2 kali apabila menyertai pilihan raya sebagai calon bebas pada PRU 2004 dan 2013, dan pada pilihan raya kecil Pengkalan Pasir pada 2005.

“Kalau saya bertanding sebagai calon bebas, saya boleh dapat majoriti tidak kurang 5,000 undi kerana berlaku perpecahan undi,” katanya, merujuk kepada pertandingan sengit antara PAS, Umno dan Amanah di Kelantan pada PRU14 nanti.

“Saya boleh menang tapi kalau saya bertanding atas tiket parti, peluang nak menang lagi mudah, paling tidak majoriti tidak kurang 8,000 undi,” katanya.

Ibrahim mendakwa dia sekarang ini mempunyai 500 orang “jentera barisan depan” di 3 DUN bawah Parlimen Pasir Mas iaitu Tendong (kerusi PAS, majoriti 978 undi), Pengkalan Pasir (PAS, 4,715) dan Chetok (PAS, 1,985), dan 3 DUN bawah Parlimen Rantau Panjang, iaitu Meranti (PAS, 3,933), Gual Periok (PAS, 615) dan Bukit Tuku (PAS, 879).

“Di Pasir Mas, jumlah undi PAS, campur tolak, yang tetap setia pada PAS tidak lari dari 15,000 pengundi. BN, campur tolak, paling kurang 12,000 pengundi. Baki 25,000 pengundi bergantung pada keadaan semasa,” katanya.

Parlimen Pasir Mas mempunyai 71,965 pengundi berdasarkan statistik PRU 2013.