PRU14: PAS terlalu lama di Kelantan, Ibrahim Ali ramal BN menang

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) berpotensi merampas Kelantan daripada PAS pada pilihan raya umum Ke-14 (PRU14) nanti, kata Datuk Ibrahim Ali.

Presiden Perkasa itu merasakan pertandingan 3 penjuru di negeri itu akan menyebabkan sokongan rakyat Kelantan berpecah antara PAS, Amanah dan BN.

“Memandang kepada situasi kini, BN mendahului kerana dalam pertandingan 3 penjuru, undi PAS ditarik oleh Amanah,” kata pada sidang media di ibu pejabat NGO itu hari ini.

Dalam 28 tahun PAS memerintah Kelantan sejak 1990, BN hampir merampas Kelantan pada 2004 dengan perbezaan 2 kerusi DUN.

PAS sekali lagi membentuk kerajaan pada PRU13 selepas memenangi 32 daripada 44 kerusi DUN.

Namun Ibrahim merasakan pengundi Kelantan “bosan” dengan kepimpinan PAS yang dilihat gagal memberikan perkhidmatan yang baik.

“Manifesto PAS saya baca sekali sahaja saya tahu dah retorik sahaja. Tengok sahaja janjinya, sebelum ini nak buat jambatan merentasi Sungai Kelantan yang menghubungkan Kota Bharu dengan Tumpat, tidak jadi. Projek Pelabuhan Darat Kuala Krai? Tidak jadi. Sana sini tidak jadi.

“Bersyarah sahaja. Kes hudud pun tidak selesai jadi jangan buang masa,” katanya.

Waspada janji politik

Sementara itu, Ibrahim berpesan kepada pengundi agar berwaspada dengan manifesto parti politik yang enak didengari tapi berpotensi menggugat keselamatan negara, seperti memansuhkan Akta Hasutan.

Akta itu walaupun dikritik salah satu undang-undang negara yang menyumbang kepada keamanan hari ini.

“Ada janji-janji parti tertentu yang betapa enak kita dengar, betapa seronok kita rasa tapi kalau boleh mengganggu gugat keselamatan negara ia tidak beri apa-apa erti,” katanya.

Presiden Perkasa itu juga menggesa pengundi menolak manifesto yang berpotensi mengadai nasib dan suara orang Bumiputera Islam.

Beliau merayu masyarakat Bumiputera Islam supaya meletakkan keselamatan “negara bangsa” sebagai agenda utama.

“Satu perkara yang tidak harus dikompromikan oleh orang Bumiputera Islam ialah asas perlembagaan iaitu Islam agama persekutuan, Bahasa Melayu bahasa kebangsaan, kedaulatan raja-raja Melayu, hak istimewa dan hak kerakyatan.

“Tanpa disedari, walaupun perkara ini terpahat dalam Perlembagaan, tetapi ucapan-ucapan ceramah, pidato dan saya tengok dalam manifesto parti tertentu secara harus ada kena mengena untuk menidakkan Perlembagaan,” katanya.

Beliau tidak menamakan manifesto mana-mana parti.