Rogol wanita OKU, lelaki dihukum penjara, sebat

PETALING JAYA: Seorang penghuni rumah kebajikan yang merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang wanita kelainan upaya (OKU) yang juga penghuni rumah kebajikan itu dihukum penjara 15 tahun dengan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini.

Hakim Azwarnida Affandi menjatuhkan hukuman itu terhadap P Ravi Kumar, 40, selepas lelaki itu menukar pengakuan kepada bersalah atas 2 pertuduhan itu pada perbicaraan kesnya hari ini dan juga setelah mendengar keterangan impak diberikan mangsa.

Tertuduh yang sebelum ini bekerja sebagai pemasang paip itu mengaku bersalah dengan sengaja merogol wanita 34 tahun yang merupakan OKU pekak dan bisu serta melakukan seks luar tabii terhadap wanita itu.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di tandas di rumah kebajikan di Bandar Sri Damansara pada 3.30 petang, 19 Jun lalu mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat serta Seksyen 377C kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Bagi kesalahan merogol, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dengan 7 sebatan manakala bagi kesalahan seks luar tabii, lelaki itu dihukum penjara 5 tahun dengan 3 sebatan dan mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norazalina Razali memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara maksimum terhadap tertuduh mengambil kira faktor trauma dialami mangsa akibat kejadian tersebut.

“Tertuduh dengan sengaja mengambil kesempatan terhadap mangsa yang lemah dan tidak berupaya, dan melihatkan keadaan mangsa ketika memberikan keterangan impak hari ini jelas menunjukkan dia masih trauma dan menangis semasa melihat tertuduh di dalam kandang tertuduh.

“Saya juga pohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat agar tertuduh dapat berubah dan menjadi pengajaran kepada masyarakat awam,” kata Norazalina.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan insaf dan ingin menjaga ibu yang sakit.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang sedang mencuci tangan di tandas melihat mangsa keluar dari salah satu tandas, menampar dan menarik mangsa dengan mencengkamnya lengan sebelum merogol dan memaksanya melakukan seks luar tabii.

Tertuduh kemudian ditangkap di tempat kejadian oleh penghuni lain di pusat kebajikan tersebut yang mendengar teriakan dan tangisan mangsa yang ketika dijumpai di tandas masih dalam keadaan bogel.

Di luar mahkamah, Norazalina ketika ditanya mengenai mangsa semasa memberikan keterangan impak itu memberitahu media, semasa pendakwaan bertanyakan mangsa berhubung hukuman terhadap tertuduh, mangsa membuat isyarat mencekik di leher bermaksud ingin tertuduh dijatuhkan hukuman mati.