3 lelaki didakwa rancang bom pangsapuri umat Islam Somalia di AS

Gambar Reuters.

WICHITA: Tiga lelaki yang didakwa merancang pengeboman sebuah pangsapuri di barat Kansas yang dihuni pendatang Islam dari Somalia dan memiliki sebuah masjid, mahu membunuh seramai mungkin penghuni serta menghantar mesej mereka tidak dialu-alukan di Amerika Syarikat (AS), kata seorang pendakwa raya pada Khamis.

Curtis Allen, Gavin Wright dan Patrick Eugene Stein didakwa berkomplot menggunakan satu senjata pemusnah besar-besaran di Garden City, Kansas, dan berkonspirasi untuk menafikan hak sivil orang lain.

Wright juga berdepan tuduhan berkaitan senjata dan Stein didakwa menipu Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Pegawai berkata, lelaki terbabit yang berdepan hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan, adalah anggota kumpulan militia.

Tertuduh, semuanya lelaki kulit putih, mengaku tidak bersalah selepas mereka didakwa pada Oktober 2016. Peguam pada Khamis berkata, anak guam mereka diperangkap kerajaan pusat.

“Defendan mahu menyampaikan mesej orang Islam tidak dialu-alukan di sini – bukan di Garden City, bukan di Kansas, bukan di Amerika,” kata pendakwa raya, Risa Berkower dalam kenyataan pembukaan perbicaraan kes itu di Mahkamah Persekutuan di Wichita, Kansas.

Berkower berkata, 3 lelaki terbabit adalah anggota Pasukan Keselamatan Kansas yang disifatkannya kumpulan militia.

Mereka membentuk kumpulan serpihan yang dikenali sebagai “tentera salib” untuk “membunuh seberapa ramai umat Islam” dan “membuatkan umat Islam tidak selesa di negara ini”, katanya.

Berkower berkata, cubaan defendan merekrut anggota lain tidak berjaya dan salah seorang daripada mereka memberitahu FBI mengenai rancangan itu.

Bagaimanapun, peguam Stein, James Pratt berkata ejen persekutuan mengambil kesempatan ke atas anak guamnya.

“Patrick Stein kadangkala membenarkan prasangka dan kebencian menguasai dirinya.

“Kerajaan persekutuan nampak peluang itu untuk mengeksploitasi ketakutan Patrick Stein,” kata Pratt dalam kenyataan pembukaannya.

Beliau berkata, pemberi maklumat FBI menyediakan peta dan pandangan udara pangsapuri itu, yang semuanya dibekalkan FBI.

“FBI mencipta dan mengarahkan semua ini,” kata Richard Federico yang mewakili Allen.

Mengikut pertuduhan itu, pihak berkuasa persekutuan, negeri dan tempatan menyiasat plot itu selama 8 bulan kerana 3 suspek itu melakukan pengawasan dan mengumpul senjata api serta bahan letupan sebagai persediaan untuk mengebom pangsapuri yang dihuni 120 orang termasuk warga Somalia.

Tertuduh juga didakwa berhasrat meletakkan kenderaan di setiap sudut pangsapuri dan meletupkannya, mengikut pertuduhan itu.

Garden City adalah sebuah bandar yang mempunyai kira-kira 27,000 penduduk di barat daya Kansas.

Allen dan Wright berasal dari Liberal, Kansas, manakala Stein berasal dari Wright, Kansas.