AirAsia didakwa langkau larangan surcaj dengan ‘yuran pemprosesan’

Persatuan Pengguna Ekonomi Digital Malaysia berkata, AirAsia membawa lebih 27 juta penumpang pada 2016, dengan 20 juta menempah tiket atas talian.(Gambar Reuters)

PETALING JAYA: AirAsia didakwa melangkau larangan surcaj untuk pembayaran menggunakan kad kredit atau debit oleh Bank Negara Malaysia (BNM), dengan mengenakan “yuran pemprosesan” untuk tempahan tiket atas talian.

Persatuan Pengguna Ekonomi Digital Malaysia (MDECA) mendakwa syarikat penerbangan tambang rendah itu mungkin memperoleh tambahan RM80 juta setiap tahun daripada pelancong berdasarkan “yuran pemprosesan” minimum RM4 bagi setiap tempahan.

“Amalan seperti itu oleh AirAsia mengenakan kos tambahan kepada pengguna tidak curiga,” kata Setiausaha Agung MDECA, Muhammad Sha’ani Abdullah dalam satu kenyataan hari ini.

BNM baru-baru ini mendedahkan peruncit dilarang mengenakan surcaj untuk pembayaran menggunakan kad kredit atau debit.

Bank pusat itu menasihatkan pengguna yang dikenakan surcaj membuat aduan kepada bank masing-masing atau pengeluar kad bayaran.

Sha’ani memuji BNM kerana melarang sebarang bentuk surcaj untuk pembayaran menggunakan kad kredit dan debit.

Bagaimanapun, katanya, AirAsia mungkin melanggar larangan itu dengan mengenakan yuran pemprosesan.

Beliau memetik jadual yuran AirAsia di laman web syarikat penerbangan itu yang menyatakan caj RM4 hingga RM30 dikenakan untuk setiap tempahan menggunakan kad caj, debit dan kredit.

Menurut laman web itu, caj berkenaan turut tertakluk kepada cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak 6%.

“BNM menggalakkan peniaga dan pengguna beralih kepada kaedah pembayaran tanpa tunai.

“Biasanya, amalan surcaj untuk kegunaan pembayaran tanpa tunai adalah amalan perdagangan tidak adil kepada peniaga yang menanggung caj kad oleh bank pengeluar kad.”

Katanya, AirAsia membawa lebih 27 juta penumpang pada 2016.

Beliau berkata, kira-kira 20 juta penumpang juga membayar atas talian, menyumbang 72% kepada pendapatan syarikat penerbangan itu.

“(Hasil) pengiraan mudah, kami menganggarkan AirAsia memperoleh RM80 juta daripada ‘yuran pemprosesan’ RM4 setiap tempahan.”

Sha’ani menggesa BNM dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) melindungi pengguna serta peniaga yang menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai “mudah, menjimatkan kos, mempromosikan kemapanan, mengurangkan risiko dan mempunyai banyak kelebihan”.

BNM: Tiada caj tambahan dibenar atas bayaran kad debit, kredit