Azmin: Embargo halang pengundi tahu kesan cadangan SPR

Gambar Twitter

PETALING JAYA: Embargo yang dikenakan ke atas laporan kajian persempadanan semula semalam menghalang pengundi daripada mengetahui kesan cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya ke atas kawasan mereka, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ahli Parlimen Gombak itu berkata laporan itu tidak patut ditahan daripada orang ramai memandangkan cadangan SPR dipaparkan dalam beberapa versi sejak 18 bulan lalu.

“Selaku Ahli Parlimen, pengundi saya dan semua pengundi mempunyai hak untuk mengetahui jika daerah mengundi sudah bertukar kerana ia akan mendatangkan kesan kepada identiti dan hala tuju politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Speaker Dewan Rakyat tiada alasan munasabah menahan laporan akhir itu untuk tatapan awam berikutan ianya mempunyai kesan terhadap hak demokrasi rakyat untuk memilih wakil mereka ke Parlimen.”

Beliau mengulas tindakan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengenakan embargo ke kandungan laporan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya sehingga 28 Mac.

Ahli Parlimen dibenarkan untuk membawa pulang dokumen tersebut namun tidak boleh mendedahkan kandungan kepada umum sehingga pembentangan dibuat.

Dewan Rakyat dijangka meluluskan cadangan SPR minggu depan sebelum Parlimen dibubarkan untuk pilihan raya umum ke-14.

Azmin hari ini berkata keputusan embargo itu harus dikutuk kerana ia mencabul hak pengundi.

“Cadangan yang dikemukakan SPR secara agresif mencorakkan karakter kaum dan etnik terhadap daerah mengundi. Perkara ini secara langsung menjejaskan keharmonian antara kaum yang menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia.

Ini adalah antara kegagalan SPR yang dicuba dicabar Kerajaan Negeri Selangor di mahkamah,” katanya.

Mahkamah Rayuan menetapkan 27 Mac ini bagi mendengar rayuan semakan kehakiman daripada kerajaan Selangor yang mahu mencabar proses cadangan persempadanan semula kawasan Parlimen dan DUN di negeri itu.

Azmin selaku menteri besar memohon mahkamah mengisytiharkan cadangan SPR tidak mematuhi Fasal 2(c) dan 2(d) Perkara 113(2) Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan dan sehubungan itu tidak sah dan terbatal.

Boleh rasa dan pegang saja, Pandikar larang laporan persempadanan dibawa keluar Parlimen

Selepas larangan, Pandikar benarkan laporan persempadanan dibawa keluar Dewan