Patriot ‘pelik’ kerja kempen PRU13 untuk Mukhriz diumum kepada semua

Arshad Raji mendakwa kenyataan luar biasa Azrin Zizal mengenai syarikatnya dan beliau sendiri bekerja bagi pihak tertentu, mungkin untuk PRU14. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Kumpulan veteran menyifatkan penafian dan dakwaan terbaharu Ketua Kumpulan SCL Asia Tenggara, Azrin Zizal berhubung penglibatannya dalam membantu Datuk Seri Mukhriz Mahathir memenangi pilihan raya umum (PRU) 2013 “sangat pelik”.

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Datuk Mohd Arshad Raji berkata, bekas pembantu Mukhriz itu tidak akan mendedahkan perbuatan sendiri, jika beliau pernah melakukan kerja pengintipan itu.

“Sekiranya dia terlibat dalam kerja-kerja pengintipan semasa PRU13, dia mungkin akan menutup mulutnya dan tidak mengatakan dia telah melakukannya untuk Mukhriz Mahathir.

“Kenyataan luar biasa Azrin memaklumkan dia dan syarikatnya mungkin bekerja untuk pihak tertentu, mungkin dalam PRU14.

“Sekiranya benar, aktiviti haram ini mesti dihentikan dan tindakan undang-undang diambil terhadap para pelaku dan rakan-rakan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Barisan Nasional (BN) menafikan dakwaan ia berurusan dengan Cambridge Analytica (CA) untuk membantu kempen merampas Kedah daripada PAS pada PRU13, sebaliknya mendakwa ia dimaklumkan Mukhriz yang mendapat manfaat daripada khidmat syarikat itu.

Azrin turut mendakwa Mukhriz berbohong dengan menafikan pernah beliau menggunakan perkhidmatan sebuah firma yang dikaitkan dengan CA dipalit kontroversi, untuk kempen BN Kedah pada PRU13.

Mukhriz yang juga timbalan presiden PPBM bagaimanapun menafikan sebarang hubungan dengan CA dan mendakwa Azrin bukan pegawai medianya selepas beliau dilantik sebagai menteri besar Kedah.

Kumpulan SCL ialah syarikat induk CA yang terbabit dalam skandal menyalah guna berjuga-juta data peribadi.

Dokumentari Channel 4 secara rahsia merakamkan eksekutif tinggi CA mendakwa mereka boleh menggunakan rasuah, bekas perisik dan pekerja seks untuk memerangkap ahli politik seluruh dunia, selain mendakwa pernah melakukan kerja pilihan raya di Malaysia.

Arshad berkata, pendedahan Channel 4 dan eksekutif tinggi CA itu melanggar prinsip Perlindungan Data Peribadi.

“Persetujuan terlebih dahulu dari individu perlu diperolehi. Ia melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi 2010. Tindakan menggunakan wanita untuk memerangkap ahli politik boleh dilihat melalui sudut etika.

“Kegiatan gelap menggunakan propaganda menyebarkan sebarang maklumat, dalam bentuk berita palsu melalui media sosial untuk menghasut emosi negatif, membenci, mengelirukan, memecah belah dan menyebabkan ketidakharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia adalah kerja perisik untuk memusnahkan negara kita.”

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap parti politik yang bersekongkol dan bersubahat dalam kegiatan haram itu.

CA adalah firma perundingan politik berpangkalan di London yang didakwa mengambil data peribadi sehingga 50 juta pengguna Facebook tanpa kebenaran untuk membantu Donald Trump dalam kempen pemilihan presiden Amerika Syarikat pada 2016.

Mukhriz pertahan kenyataan tidak berurusan dengan firma Britain

Mukhriz bohong, kata bekas pegawai media