Jangan lupakan saya, kata Azmin selepas beri RM100,000 kepada NGO

Azmin Ali mengumukan peruntukan tambahan RM100,000 kepada Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia di Batu Caves, hari ini.

GOMBAK: Datuk Seri Azmin Ali meminta pengurusan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) tidak mensia-siakan jasa dan budinya yang meluluskan peruntukan tambahan RM100,000 untuk menambah baik pusat kebajikan itu.

“Secara tulus dan ikhlas saya ingin mengumumkan kerajaan negeri bersetuju memberi peruntukan tambahan sebanyak RM100,000 untuk LKPIM Cawangan Nakhoda.

“Macam mana hendak cari menteri besar seperti ini? Walaupun tidak sebut (jumlah yang diperlukan) dan apabila disebut RM50,000, dapat pula RM100,000.

“Jadi, selepas ini jangan lupa saya ya,” kata menteri besar Selangor itu pada Majlis Perasmian Rumah Pengajian LKPIM Cawangan Nakhoda, hari ini.

Azmin Ali merasmikan Rumah Pengajian Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia Cawangan Nakhoda di Batu Caves, hari ini.

Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak berkata, peruntukan tambahan itu adalah amalan biasa kerajaan negeri dalam membantu NGO tempatan.

“Sejak saya diberikan tugas ini (menteri besar), saya sudah umumkan banyak kali. Hasrat saya untuk bangunkan Selangor sebagai negeri penyayang.

“Ia bermakna, menunjukkan kasih sayang kepada rakyat yang banyak berkorban untuk bangunkan negeri Selangor, walaupun saya diserang hebat setiap malam.”

Sementara itu, Azmin memberi jaminan akan mengekalkan Amirudin Shari untuk bertanding di kerusi DUN Batu Caves pada pilihan raya umum akan datang.

“Walaupun kita belum putuskan calon, tetapi saya beri jaminan, berdasarkan khidmat beliau, saya tidak teragak-agak untuk kekalkan beliau sebagai calon.

“Dia sudah terbukti, takkanlah kita hendak cari orang yang pandai menyanyi? Kita hendak seorang wakil rakyat, saya beri sokongan untuknya pertahan kedudukan.”