PAS nafi wakil rakyatnya bertanding atas tiket PH

Nik Mohd Amar Nik Abdullah mendakwa calon yang bertanding atas tiket Amanah lagi cepat kalah. (Gambar fail)

KUALA TERENGGANU: Dakwaan seorang ahli Pakatan Harapan (PH) ada adun dan ahli Parlimen PAS akan bertanding di atas tiket PH pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) hanya propaganda pihak itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah sebaliknya mempersoalkan pendedahan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin itu dan berkata, parti yang diwakilinya, iaitu Amanah sendiri tidak berwibawa atau mendapat sokongan rakyat.

Ini kerana katanya, setakat ini, pihaknya masih tidak mempunyai maklumat berhubung dakwaan itu, termasuk siapa dan berapa adun yang dikatakan terbabit.

“Bagaimana orang hendak bertanding di atas tiket PH sedangkan pakatan itu tiada harapan, apatah lagi bertanding di atas tiket Amanah…lagi cepat kalah.

“Tindakan ini boleh jadi satu propaganda politik PH. Orang tidak menaruh harapan kepada Amanah, dapat 27 kerusi saja di seluruh negara macam mana nak bertanding,” katanya ketika ditemui selepas program Himpunan Harapan Semua, semalam.

Nik Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan mengulas pendedahan Raja Kamarul Bahrin yang mendakwa terdapat beberapa wakil rakyat PAS dan bekas pemimpin parti itu bakal bertanding di atas tiket PH pada PRU14.

Bagaimanapun, Raja Kamarul Bahrin enggan mendedahkan identiti wakil rakyat PAS terbabit, namun mendakwa kononnya tindakan itu diambil kerana kecewa dengan sikap pemimpin tertinggi parti Islam itu yang menyokong keputusan kerajaan Barisan Nasional, termasuk pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).