2 pertubuhan Islam Indonesia gesa rakyat bersatu ketika pilihan raya

PETALING JAYA: Dua pertubuhan Islam terbesar di Indonesia komited memastikan perpaduan kekal di negara itu menjelang “tahun politik” yang merujuk pilihan raya wilayah dan pemilihan presiden.

Nahdlatul Ulama dan Muhammadiyah dipetik The Jakarta Post menggesa ahli mereka “membina keadaan kondusif” bagi mengelakkan penyebaran berita palsu, ucapan kebencian dan fitnah pada era sosial media “menjejaskan perpaduan di Indonesia”.

“Indonesia ialah sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kumpulan etnik dan agama yang perlu dilindungi.

“Perbezaan perlu dilihat sebagai rahmat untuk menyokong keharmonian.

“Mari jadikan demokrasi sebahagian amalan hidup untuk membuat perubahan besar,” kata 2 pertubuhan Islam itu dalam satu kenyataan bersama Jumaat lalu.

Pilihan raya wilayah dijadualkan berlangsung di 119 wilayah Jun ini bagi memilih gabenor, ketua daerah dan datuk bandar, manakala pemilihan presiden akan diadakan tahun depan.