Exco Selangor: Ada pemaju tangguh bina rumah mampu milik

Exco Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, syarat baru dilaksanakan kerajaan negeri bertujuan melindungi kepentingan pembeli rumah. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Exco Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad mendakwa banyak projek rumah mampu milik yang diluluskan pada zaman pemerintah Barisan Nasional (BN) di negeri itu belum dibina sehingga kini.

Beliau berkata, kerajaan negeri BN ketika itu membenarkan pemaju membina rumah harga biasa sebelum menyiapkan rumah kos rendah atau mampu milik yang terkandung dalam skim perumahan mereka.

Akibatnya, pemaju menangguhkan pembinaan bahagian rumah mampu milik dalam skim perumahan mereka.

Iskandar berkata, ada pemaju yang bertanya sekiranya mereka boleh mengetepikan sama sekali pembinaan rumah mampu milik.

Justeru, apabila kerajaan pimpinan PKR mengambil alih Selangor, ia mengenakan “syarat pelik” bagi memastikan pemaju tidak mengabaikan tanggungjawab mereka, kata Iskandar.

Beliau berkata, syarat perumahan ini dikenakan kerajaan negeri bagi menjaga kebajikan rakyat.

Menjawab kenyataan Datuk Seri Najib Razak semalam mengenai “syarat pelik” dikenakan kerajaan Selangor dan Pulau Pinang yang mengakibatkan kenaikan kos bagi pembeli dan pemaju, Iskandar berkata, syarat itu hanya pelik kepada mereka yang tidak mempedulikan nasib rakyat.

Beliau yang tidak pasti syarat dimaksudkan Najib, percaya perdana menteri merujuk peraturan mengkehendaki pemaju membina rumah mampu milik sebelum atau serentak dengan rumah harga biasa.

“Kerajaan negeri menguatkuasakan peraturan ini bagi memastikan pemaju tidak menangguhkan pembinaan rumah mampu milik beberapa tahun selepas mereka menyiapkan pembinaan rumah harga biasa,” katanya.

Exco Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Selangor itu berkata, untuk projek perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), kerajaan negeri menetapkan sebahagian daripada projek itu dikhaskan untuk Rumah Selangorku yang berharga di bawah RM250,000 seunit.

Katanya, peratus yang mesti disediakan untuk projek Rumah Selangorku bergantung kepada saiz dan lokasi keseluruhan projek itu, iaitu antara 20% hingga 40%.

“Syarat pelik ini bertujuan memastikan rakyat mampu membeli rumah sendiri kerana rumah PR1MA berharga antara RM300,000 dan RM400,000,” kata beliau.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng turut memberi respons terhadap kritikan Najib dengan mempertahankan peraturan kerajaan negeri itu yang mengkehendaki pembeli mendaftar sebagai pengundi di Pulau Pinang sebelum dibenarkan membeli rumah mampu milik.

Lim berkata, kerajaannya perlu menjaga kepentingan rakyat negeri itu terlebih dahulu.

“Najib tanya bagaimanakah kita boleh mewajibkan pembeli rumah menjadi pengundi di Pulau Pinang. Kita menetapkan syarat itu kerana kita mahu memastikan pembeli adalah rakyat negeri ini.

“Apa salahnya dengan dasar itu?” soal Lim.

BN akan kaji syarat tambahan punca harga rumah naik di Selangor