Kadar jenayah turun tahun lalu, kata polis

PETALING JAYA: Kadar jenayah menurun sebanyak 11.7% atau 13,186 kes tahun lalu berbanding tahun sebelumnya, kata ketua polis negara.

“Jenayah kekerasan menurun sebanyak 960 kes atau 4.3% dan jenayah harta benda menurun sebanyak 12,226 kes atau 13.6%.

“Berlandaskan nilai ambang yang ditetapkan bagi Januari hingga 15 Mac lepas, jenayah indeks menunjukkan pengurangan sebanyak 9.7%, manakala jenayah kekerasan berkurangan 16.2% dan jenayah harta benda menurun sebanyak 7.9%,” kata Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ketika berucap pada Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-211 di Pusat Latihan Polis, hari ini.

Tetapi, katanya, fenomena “takut kepada jenayah” masih membelenggu orang ramai dan polis akan melipatgandakan program komuniti bersama masyarakat.

Mengenai persiapan pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Fuzi berkata, polis mengatur program strategik sejak tahun lalu.

“Ini termasuklah inisiatif Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman yang menjalankan latihan simulasi Ex-Undi PRU14 di seluruh negara.”

Sementara itu, Fuzi berkata, polis menahan 389 individu disyaki terlibat dengan aktiviti berkaitan IS sejak 2013.

Katanya, ia termasuk kes terbaru membabitkan 6 rakyat Malaysia dan seorang warga Filipina yang ditahan dalam operasi pada 27 Februari dan 15 Mac lepas.

“Suspek rakyat Malaysia itu ditahan disyaki merancang untuk melancarkan serangan ke atas rumah ibadat bukan Islam dan menculik serta membunuh anggota polis.

“Suspek warga Filipina pula merupakan individu yang dikehendaki pihak berkuasa Filipina kerana terlibat dalam kes ‘penculikan untuk tebusan’ serta beberapa cubaan bunuh.”