Najib: Peneroka Felda rugi, jika pembangkang batal kontrak China

KUANTAN: Peneroka Felda di negara ini bakal berdepan masalah memasarkan hasil minyak sawit dan meninggalkan kesan kepada ekonomi negara, jika pembangkang menang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, ini kerana pembangkang akan membatalkan segala kontrak perjanjian dengan China, sekiranya parti itu menang pada PRU14.

“Kerajaan mengamalkan dasar hubungan baik dengan kuasa-kuasa ekonomi besar dunia, termasuk China dan India serta negara lain kerana mereka akan membeli minyak kelapa sawit yang dikeluarkan peneroka Felda di negara ini.

“Cuba bayangkan kalau mereka batalkan perjanjian itu, hubungan antara negara akan menjadi keruh…kalau keruh, minyak sawit ini tidak laku dan tidak boleh jual. Yang susah bukan mereka (pembangkang), tetapi peneroka Felda sendiri.

“Jangan jadi macam Selangor, pemimpin mereka dapat undi, tetapi rakyat dapat baldi kerana kegagalan kerajaannya menguruskan soal air,” kata Najib ketika berucap di majlis ramah mesra di Parlimen Paya Besar di Felda Lepar Hilir 1, malam tadi.

Turut hadir di majlis itu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan pemangku Ketua Umno Bahagian Paya Besar, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah.

Mengikut rekod, selain India dan Kesatuan Eropah, China merupakan antara negara terbesar yang membeli minyak sawit Malaysia.

Sehubungan itu, beliau meminta peneroka Felda yang menjadi penyokong kuat kerajaan BN selama ini membuat pilihan tepat pada PRU14.

Menurutnya, hasil hubungan diplomatik erat kerajaan dengan negara asing, termasuk Arab Saudi dan China membuka banyak ruang ekonomi dan faedah untuk rakyat, termasuk menerusi (eksport) hasil pertanian dan tambahan kuota haji.

Dalam pada itu, Najib turut menzahirkan komitmen untuk terus menjalankan agenda pembangunan di kawasan luar bandar.

“Sesetengah tempat lain, kehidupan mereka lebih mewah daripada sini. Ada tempat itu mereka mendapat segala kemudahan, tetapi tidak sekuat mana menyokong kerajaan BN, tetapi tempat seperti ini (Paya Besar) tetap kuat menyokong kita.

“Sebab itu kerajaan tidak akan lupakan agenda pembangunan di luar bandar supaya mereka seiring pembangunan di bandar, namun agenda di bandar tetap perlu diteruskan kerana kita perlu mengembangkan ekonomi.

“Apabila ekonomi berkembang, hasil negara akan bertambah dan kita dapat mengagihkannya ke luar bandar,” katanya.

Manifesto PH janji 10 perkara, beban rakyat ringan dalam 100 hari