Polis bukan pak turut kerajaan, makan gaji buta, kata Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak kesal dengan dakwaan sesetengah pihak mengatakan polis ialah pak turut kerajaan dan makan gaji buta tanpa menjalankan tanggungjawab.

“Saya kesal dengan tuduhan melulu yang dibuat sesetengah pihak, ada yang lahirkan persepsi anggota polis kononnya pak turut kerajaan, makan gaji buta,” katanya ketika berucap pada Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-211 di Pusat Latihan Polis, hari ini.

Tanpa menyebut nama, perdana menteri turut mengkritik bekas pemimpin berusia 93 tahun yang mendakwa polis terlibat secara langsung dalam pemecatan timbalan perdana menteri pada 1998.

“Ini semua tuduhan tidak berasas. Terbaru ada bekas pemimpin yang usianya 93 tahun, tuduh katakan polis bersalah mendorong pecat timbalan perdana menteri pada 1998.”

Baru-baru ini, bekas ketua polis negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor dilaporkan berkata, polis tiada kuasa dari segi undang-undang untuk memecat mana-mana ahli politik.

Beliau juga hairan kenapa bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa polis mendorong beliau memecat timbalannya ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Najib turut menyelar kenyataan anak pemimpin berusia 93 tahun itu yang mahu memecat pegawai kerajaan, sekiranya Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara.

“Ini termasuk kenyataan anak kesayangan beliau yang mahu pecat pegawai kerajaan, sebaliknya kerajaan hari ini hargai sumbangan polis dan kebajikannya akan terus diperjuangkan.”

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pula kesal dengan tindakan sesetengah pihak cuba membangkitkan sentimen membenci polis.

“Berita-berita palsu di media sosial yang cuba membangkitkan sentimen masyarakat agar membenci polis sudah memburukkan lagi krisis imej PDRM.

“Akibatnya kita menjadi mangsa hukuman ‘court of public opinion’ apabila persepsi masyarakat tidak menyebelahi kita, walaupun hanya sekelumit petualang di dalam pasukan yang lakukan onar,” katanya.